Kedah mampu tarik pelaburan RM32 bilion menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Kedah mampu tarik pelaburan RM32 bilion menjelang 2025

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedah mempunyai keupayaan untuk menarik pelaburan terkumpul lebih RM32 bilion menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 43,000 peluang pekerjaan serta melahirkan 10,000 usahawan baharu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bagi merealisasikan matlamat tersebut, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam melaksanakan pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi dan program modal insan di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang diluluskan baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan kegiatan ekonomi NCER, kerajaan negeri telah berkolaborasi dengan NCIA dalam melaksanakan pelbagai projek pemangkin di bawah SDP yang akan menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat lebih 30 peratus kepada RM62 bilion menjelang 2025.

Katanya, setakat September lalu, NCIA telah berjaya mencapai sasaran pelaburan untuk Kedah sebanyak RM2.8 bilion.

“Kita juga telah berjaya mengatasi sasaran mewujudkan peluang pekerjaan hampir 40 peratus. Namun begitu, masih ada projek yang akan dimuktamadkan pada penghujung tahun ini yang akan menyaksikan kedua-dua sasaran utama ini dilangkaui sebanyak RM310 juta dan tambahan sebanyak 345 peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri di negeri itu yang turut dihadiri Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Muhammad Sanusi berkata, sektor yang menjadi penyumbang pelaburan terbesar adalah sektor pembuatan diikuti logistik dan  bioagri.

Katanya, SDP dirangka khas untuk menyediakan perancangan yang holistik dan bersepadu bagi pengembangan modal insan, pertumbuhan pelaburan, peningkatan jaringan perhubungan dan infrastruktur strategik.

Perancangan untuk NCER itu katanya, bagi memastikan terdapat peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi untuk rakyat Kedah.

Selain itu, tambahnya, dengan keluasan lebih 1,200 ekar, Kedah Rubber City (KRC) adalah projek Taman Perindustrian Getah nasional pertama yang mempunyai potensi unggul, lebih-lebih lagi dengan peningkatan permintaan terhadap produk getah pada masa ini.

“KRC akan mempercepatkan perkembangan industri getah Malaysia dan menjadi hab industri getah bernilai tinggi serantau di ASEAN.

“Pembinaan fasa pertama projek ini telah dimulakan pada Disember 2019 dan akan siap bulan ini. Sehingga kini, KRC mempunyai pelaburan berpotensi lebih RM700 juta dan lebih dari 660 peluang pekerjaan bakal dihasilkan oleh pemain industri getah tempatan yang telah komited untuk beroperasi di KRC apabila infrastruktur siap sepenuhnya pada suku pertama 2022,” ujarnya.

Menurut Muhammad Sanusi lagi, KRC akan mempunyai pelaburan terkumpul sebanyak RM10 bilion dan 15,000 peluang pekerjaan baharu apabila projek itu siap sepenuhnya pada 2030. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya