Wujudkan lebih banyak projek - Utusan Malaysia

Wujudkan lebih banyak projek

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi dalam suku keempat 2020. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) mahu kerajaan melak­sanakan lebih banyak projek termasuk projek mega dalam Belanjawan 2021 bagi memacu semula ekonomi negara.

Ia sekali gus dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat dan me­ngatasi keadaan ekonomi yang mencabar masa kini.

Presiden MBAM, Foo Chek Lee berkata, kerajaan perlu melancarkan lebih banyak projek yang memberi impak kepada ekonomi kerana sektor pembinaan adalah antara penyumbang utama pembangunan infrastruktur dan ekonomi negara.

“Kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu meningkatkan perbelanjaan projek dan menyuntik modal untuk melancarkan projek terutamanya projek yang memberi manfaat kepada orang ramai dan masyarakat umum.

“Kerajaan boleh melancarkan semula projek yang ditangguh sebelum ini seperti MRT3, Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) JB-Singapura. Selain itu, kerajaan boleh me­laksanakan projek-projek mega lain yang berimpak tinggi terhadap ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tambah Chek Lee, kerajaan juga perlu mendorong lebih banyak sektor swasta untuk mengemukakan kertas cada­ngan berdasarkan kerjasama awam-swasta (PPP) dengan kerajaan atau sektor awam yang berperanan penting sebagai penjamin, agar lebih ba­nyak projek dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kurangkan kos pembiaya­an untuk projek melalui subsidi faedah atau jaminan kerajaan untuk pinjaman projek bagi mengurangkan kos projek dan memastikan daya maju,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan kawalan ketat terhadap harga bahan binaan dan mengelakkan kartel atau monopoli bagi mengelak kenaikan kos bahan dan projek.

“Perolehan projek perlu dikaji semula dan dijalankan dengan lebih telus untuk memastikan kontraktor dinilai dengan betul berdasarkan kebolehan serta harga yang berdaya saing untuk mendapatkan projek tersebut.

“Ini penting untuk memastikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) betul-betul mampu memberi manfaat kepada semua pihak. Contohnya, projek lebih daripada RM50 juta hingga RM100 juta, mesti dinilai berdasarkan pra kelayakan dan bukannya melalui tender terbuka,” katanya.

Chek Lee menambah, kerajaan juga mesti memberikan geran khas untuk sektor pembinaan dalam membantu pemain industri mengatasi masalah kos tinggi bagi memperolehi perisian dan peralatan.

Beliau turut berharap, kontraktor kecil tidak dipinggirkan dan kerajaan harus memperkenal atau membangunkan teknologi automasi seperti memasang bata, jubin dan lain-lain bagi membantu golongan berkenaan.

“Dengan cara ini, kontraktor-kontraktor kecil dapat belajar dan perlahan-lahan mengikuti teknologi digital dan automasi berteknologi tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN