fbpx

Permintaan PS5 luar biasa, dijual AS$500 seunit

TOKYO: Sony Corp. (Sony) merekodkan permintaan ‘luar biasa’ untuk konsol PlayStation 5 (PS5) melalui prapesanan apabila pe­minat permainan video itu tidak sabar mendapatkan peranti ge­nerasi berikutnya yang akan dilancarkan 12 November ini.

Harga premium PS5 adalah AS$500 (RM2,081.25) manakala edisi digital yang direka untuk trend permainan yang dimuat turun dari cloud berharga $400 (RM1,665).

Ketua Pegawai Eksekutif Sony Interactive Entertainment, Jim Ryan berkata, konsol PS5 itu akan dijual dalam 12 jam pertama di Amerika Syarikat (AS, sama se­perti 12 minggu pertama untuk peranti PlayStation 4 (PS4) sebelum ini.

“Permintaan tinggi dan luar bia­sa dapat dilihat apabilaia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan terutama melalui prapesanan,” kata Jim kepada Reuters.

Sony sebelum ini telah menjual lebih daripada 100 juta unit PS4, namun dengan PS5 baharu itu, syarikat terbabit memberi keyakinan kepada peminatnya untuk meningkatkan penggunaannya kepada peranti baharu bagi pemainan seperti ‘Marvel’s Spider-Man: Miles Morales’ dengan grafik, suara dan maklum balas yang dipertingkatkan melalui pengawalan baharu.

Ryan berkata, walaupun tidak ramai akan membeli atau mendapatkan PS5 pada hari pelancaran berikutan kawalan pergerakan ketika pandemik Covid-19, beliau percaya penggemar permainan video akan tetap ‘mencarinya’.

“Syarikat akan memastikan bekalan PS5 dapat dipenuhi sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Sony juga telah membina rangkaian studio dalaman yang menghasilkan tajuk eksklusif, termasuk ‘Ghost of Tsushima’ daripada Sucker Punch Productions, untuk menangkis saingan konsol permainan Xbox Microsoft yang akan dilancarkan pada 10 November ini dengan harga permulaan sama dengan PS5.

“Peminat akan merasakan sendiri kepantasan luar biasa, ‘immersion’ lebih tinggi dan permainan yang menakjubkan di PS5,” katanya.

Syarikat teknologi Jepun itu juga menjangkakan permainan video terutama PS5 akan berkembang pesat ketika tempoh penularan Covid-19.

Saham Sony meningkat 45 peratus sejak merekodkan paras terendah pada Mac. Saham syarikat itu meningkat sebanyak 1.05 peratus pada sesi dagangan semalam. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN