KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia X Berhad (AAX) perlu berunding dan mencari penyelesaian supaya masa depan penerbangan domestik dan antarabangsa terus cerah walaupun berdepan tuntutan ketika pandemik pasca Covid-19.
Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berpendapat, MAHB harus memberikan ruang kepada AAX untuk membayar semula caj-caj tertunggak yang dikenakan kerana keadaan semasa yang sukar bagi industri penerbangan.
“AAX perlu lebih telus dalam segala bentuk urusan atau syarat bersama MAHB mengenai soal saman yang dikemukakan itu dan tidak mengambil jalan mudah. Dalam pada masa sama, MAHB perlu berunding dengan AAX mengenai peraturan atau syarat yang ditetapkan. Jika caj tersebut membebankan, saya sarankan AAX dan MAHB berbincang dan mencari jalan tengah.
“Kedua-dua syarikat ini sangat bergantung kepada industri pelancongan. Jika tiada aktiviti pelancongan, maka tiadalah aktiviti penerbangan yang akan memberi lebih tekanan kepada kedua-duanya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Adli berkata demikian mengulas tindakan MAHB melalui anak syarikatnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. mengemukakan saman dan pernyataan tuntutan berjumlah RM78.16 juta kepada AAX di Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin.
Jumlah saman tersebut adalah jumlah caj-caj tertunggak mengikut Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 dan Syarat Penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Adli berkata, masa depan AAX tidaklah bergantung sepenuhnya atas saman MAHB itu, namun ia lebih bergantung kepada keadaan ekonomi semasa dan keadaan industri penerbangan pasca Covid-19.
“Jika industri pelancongan dan penerbangan dapat pulih dengan cepat, AAX boleh teruskan perniagaan mereka dan membayar semua saman kepada MAHB,” katanya.
Dalam pada itu, syarikat induk AAX, AirAsia Group Berhad dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia memaklumkan, pinjaman sebanyak RM300 juta yang diperoleh daripada Bank Pembangunan Sabah bukan dijamin kerajaan.
Menurutnya, pinjaman itu akan digunakan untuk membangun operasi digital rangkaian makanan sejuk beku, OURFARM di Sabah dengan nilai RM170 juta, selain membiayai projek menukar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi hab operasi syarikat (RM110 juta).
Perbelanjaan lain adalah untuk meningkatkan platform e-dagang bagi produk dari Sabah (RM10 juta) dan mempromosi pelancongan negeri itu (RM10 juta).
“Tunjuan utama pinjaman untuk memperkukuh logistik di Sabah dengan meningkatkan rantaian nilai dan ketersambungan, selain mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN










