fbpx

28 Oktober 2020, 10:04 am

  TERKINI

Mah Sing labur RM150j teroka sektor sarung tangan

MOHD. Redzuan Md. Yusof (dua dari kiri), Leong Hoy Kum (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Mah Sing dengan beberapa pihak membabitkan pembuatan sarung tangan getah di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah terkemuka, Mah Sing Group Bhd. mengumumkan untuk melabur sebanyak RM150 juta dengan mempelbagaikan perniagaan dalam sektor penjagaan kesihatan menerusi fasa pertama pembuatan sarung tangan getah.

Perniagaan sektor baharu tersebut akan diuruskan Mah Sing Healthcare yang juga merupakan anak syarikat Mah Sing Plastics Industries Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Mah Sing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, propek pertumbuhan positif dalam sektor sarung tangan dan pengalaman syarikat itu sebagai pembuatan plastik dalam tempoh empat dekad telah membuatkannya memutuskan untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor penjagaan kesihatan.

Katanya, Mah Sing turut berhasrat untuk menjadi lima syarikat terbesar dalam sektor sarung tangan di samping akan meneroka peluang menyenaraikan syarikat sarung tangan di pasaran ekuiti bagi membuka pertumbuhan nilai segmen tersebut.

Beliau berkata, untuk fasa pertama, Mah Sing Plastics Industries akan membina sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Kapar, Klang seluas 228,800 kaki persegi merangkumi 12 laluan pengeluaran baharu yang akan menghasilkan kapasiti maksimum sebanyak 3.68 bilion sarung tangan setahun.

“Kami telah merancang semuanya dengan terperinci dan pantas termasuk pembelian mesin pembuatan sarung tangan baharu dan menandatangani surat hasrat dengan pembekal bagi membekalkan bahan mentah nitril-butadiena dan getah lateks asli untuk memulakan operasi.

“Enam barisan pengeluaran pertama di kilang Kapar dijangka siap untuk beroperasi seawal suku kedua 2021 diikuti oleh enam barisan pengeluaran lagi yang dijangka siap pada suku ketiga 2021,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian dengan pembekal secara maya hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Tambah Hon Sang, syarikat itu mengunjurkan perniagaan pembuatan sarung tangan tersebut akan dapat menjana pendapatan secepat mungkin dengan sumbangan dianggarkan seawal suku kedua 2021.

Dalam masa yang sama, Hon Sang berkata, syarikat itu juga merancang untuk memperluas kilang dengan keluasan 287,500 kaki persegi bagi menambah 12 lagi barisan pengeluaran dan meningkatkan kapasiti sehingga 3.68 bilion sarung tangan lagi dalam fasa kedua.

“Sekiranya permintaan makin melonjak, kami berhasrat untuk berkembang secara berperingkat sehingga 100 barisan pengeluaran pada masa hadapan di samping menjadi lima pengeluar terbesar Malaysia,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

BERITA BERKAITAN