Covid: Negara bakal rugi RM28.8b - Utusan Malaysia

Covid: Negara bakal rugi RM28.8b

Risiko gelombang kedua pandemik dan ketiadaan vaksin mungkin melengahkan pemulihan ekonomi negara. - GAMBAR FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di seluruh Lembah Klang selama sebulan boleh merugikan ekonomi negara sehingga RM28.8 bilion.

MIDF Research dalam nota kajiannya memberitahu, jangkaan tersebut berdasarkan kemungkinan pelaksanaan Temco di Lembah Klang adalah seketat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bermula Mac lalu dan ia boleh me­ngurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.9 peratus daripada -4.8 peratus kepada -6.7 peratus.

“Ini kerana, berdasarkan saiz ekonomi, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang kira-kira 40 peratus daripada KDNK Malaysia.

“Jika Temco dilaksanakan di Lembah Klang berpanjangan sehingga sebulan, kami menjangkakan impaknya kepada ekonomi Malaysia boleh mencapai RM28.8 bilion kehilangan output daripada kejatuhan permintaan agregat,” katanya.

MIDF Research menjangkakan kawalan pergerakan yang bersasar lebih berkemungkinan dilaksanakan berbanding PKP di seluruh negara dengan Temco di Lembah Klang akan memberikan impak terbesar.

Menurut MIDF Research, keadaan itu juga akan memberi impak kepada pasaran tenaga buruh dengan kemungkinan kadar pengangguran boleh meningkat ke paras tertinggi sejak 27 tahun.

“PKP sebelum ini telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 5.3 peratus pada Mei. Berdasarkan data rasmi pasaran buruh daripada Jabatan Perangkaan, jumlah guna tenaga jatuh sebanyak 456,600 dalam tempoh itu.

“Jika Temco di Lembah Klang menyebabkan kira-kira 100,000 pekerja kehilangan kerja kerana perniagaan bermasalah membayar gaji, kadar pengangguran boleh meningkat setinggi 5.4 peratus berbanding kadar terbaharu 4.7 peratus pada Julai,” katanya.

Walau bagaimanapun, MIDF Research berpendapat, negara lebih bersedia menghadapi PKP kedua berbanding PKP kali pertama dahulu.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada boleh diperketat tanpa menyebabkan perniagaan ditutup sementara.

Tambahan lagi, kerajaan juga mempunyai ruang fiskal yang lebih besar untuk menyuntik rangsangan fiskal tambahan memandangkan had siling hutang statutori telah dinaikkan daripada 55 peratus kepada 60 peratus.

“Formulasi program rangsangan fiskal perlu menyasarkan bantuan untuk golongan dan sektor yang mudah terkesan secara signifikan dengan pelaksanaan satu lagi pusingan sekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya