1,970 jawatan kosong belum diisi di Perak - Utusan Malaysia

1,970 jawatan kosong belum diisi di Perak

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 2,247 jawatan kosong ditawarkan kepada golongan pencari kerja di negeri ini yang didaftarkan menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) bermula Jun sehingga September lalu meliputi pelbagai sektor seperti pembuatan, automotif, perkhidmatan dan lain-lain.

Bagaimana pun, daripada jumlah tersebut hanya 277 pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri menyaksikan wujud kekosongan jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Perak, Razman Zakaria berkata, angka tersebut diisi berdasarkan 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah Pasak selaku agensi pelaksana.

Menurut beliau, pencari kerja dalam kalangan anak-anak Perak  termasuk mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 atau ingin meneroka kerjaya baharu diseru mengambil peluang-peluang yang ditawarkan oleh industri.

“Berdasarkan angka ini bermakna masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat negeri Perak.

“Jawatan kosong yang ditawarkan oleh industri ini memerlukan penempatan segera bagi membolehkan operasi industri tidak terjejas atas faktor guna tenaga yang tidak berada pada tahap maksimum,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasak selaku agensi pelaksana berperanan menyediakan solusi jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta kehidupan rakyat khususnya membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri selain peningkatan modal insan dalam bidang kemahiran.

Jelas Razman lagi, masalah utama yang dihadapi oleh industri ketika ini ialah kurangnya permohonan daripada warga tempatan untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan khususnya untuk penjawatan sokongan dalam industri pembuatan.

“Adalah menjadi dasar kerajaan negeri agar pihak industri memberi lebih banyak peluang kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan, jadi ia hendaklah direbut.

“Golongan pencari kerja juga dipelawa mendaftar minat mereka dengan Pasak atau boleh melayari laman Facebook ‘Pusat Aspirasi Anak Perak/PASAK’ untuk memperoleh informasi terkini berkaitan peluang pekerjaan selain boleh menghubungi talian kami, 05-3183 290 untuk pertanyaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya