fbpx

25 Januari 2021, 7:32 pm

  TERKINI

Yayasan Sime Darby taja biasiswa, dermasiswa RM25 juta

Tunku Imran Tuanku Jaafar (tengah) bersama penerima biasiswa dan dermasiswa Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Sime Darby (YSD) menganugerahkan 560 biasiswa dan dermasiswa bernilai RM25 juta untuk 2020 dan 2021 sebagai sebahagian usahanya mewujudkan peluang pendidikan sama rata di Malaysia.

Sebagai permulaan, YSD memberikan biasiswa dan dermasiswa berjumlah RM10 juta kepada kumpulan pertama terdiri daripada 121 orang pelajar dalam Majlis Penganugerahan Biasiswa yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini semalam.

Pengerusinya, Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, 88 peratus daripada penerima biasiswa dan dermasiswa tersebut berasal daripada keluarga berpendapatan rendah yang diharap dapat membantu mereka mendapat akses pendidikan berkualiti.

Beliau turut berkongsi kisah dua penerima biasiswa dan dermasiswa tersebut, K. Gowri dan Mohd. Farhan Bryan yang masing-masing sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cambridge A-Level di Kolej Yayasan UEM.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi agar Gowri, Farhan dan kesemua penerima biasiswa dapat memaksimakan potensi mereka dengan peluang yang diberikan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sehingga kini, YSD telah memberikan biasiswa dan dermasiswa bernilai hampir RM300 juta kepada pelajar yang kebanyakannya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara tokoh yang pernah menerima biasiswa YSD ialah V. Nadeera, seorang aktivis belia bagi Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (MRDS) dan finalis pertandingan Miss Amazing Malaysia 2020/2021 yang dijemput sebagai tetamu kehormat pada malam anugerah itu.

Kata Nadeera, beliau antara insan bertuah yang menerima dermasiswa daripada YSD bagi kategori keperluan khas ketika tahun akhir pengajian Ijazah Psikologi di Universiti Nottingham selepas cemerlang dalam pelajarannya di peringkat sekolah.

“Berkelainan upaya tidak seharusnya menghalang sesiapa daripada mencapai matlamat yang tinggi dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YSD atas sokongan yang diberikan selama ini,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN