SPS pantau salah laku industri sawit - Utusan Malaysia

SPS pantau salah laku industri sawit

AHMAD PARVEEZ GULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membangunkan Sistem Pemantauan Sawit (SPS) untuk memantau pergerakan kenderaan yang mengangkut minyak sawit dalam meningkatkan pemantauan pengalihan produk sawit bagi mengelak aktiviti salah laku dalam industri berkenaan.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penguatkuasaan peraturan dalam industri sawit dilaksanakan oleh pejabat MPOB di seluruh negara termasuk pemantauan aktiviti pengalihan minyak sawit, pencemaran kualiti dan pematuhan peraturan alam sekitar.

“MPOB juga berkerjasama dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membendung aktiviti salah laku dalam industri sawit yang boleh menggugat kesejahteraan industri sawit,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahmad Parveez berkata, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dengan telus dan adil bagi melaksanakan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin pertumbuhan industri sawit yang teratur dan mampan.

“Tindakan penguatkuasaan mengikut perundangan kepada pihak yang terlibat termasuk mengeluarkan surat peringatan, tindakan kompaun atau pendakwaan boleh dikenakan kepada yang terlibat aktiviti salah laku dalam industri sawit.

“Maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam berkaitan pelanggaran peruntukan undang-undang MPOB akan diteliti faktanya dan siasatan dijalankan mengikut peraturan Perlesenan MPOB (Akta 582) dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Utusan Malaysia pada Sabtu lalu mendedahkan kegiatan jual beli minyak sawit haram sehingga menjejaskan pekebun kecil dan peneroka tanah rancangan Felda di Pahang.

Mereka menjadi mangsa permainan harga di peringkat kilang berikutan pengilang mengalami kerugian jutaan ringgit kerana minyak sawit yang sepatutnya sampai ke destinasi, disekat di tengah jalan kerana berlaku aktiviti penjualan secara haram yang didakwa melibatkan campur tangan anggota penguat kuasa.

Beliau berkata, bagi kesalahan-kesalahan aktiviti tanpa lesen di bawah Peraturan-peraturan MPOB (Pelesenan) 2005 atau kesalahan (Mutu) 2005, merupakan kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

“Kertas siasatan yang lengkap dengan bukti yang mencukupi dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Ujarnya, tiada pengecualian dalam tindakan undang-undang dan sebarang rayuan supaya tidak meneruskan siasatan dan menghentikan semua tindakan penguatkuasaan serta memulangkan semula semua barang kes termasuk keluaran kelapa sawit yang disita tidak akan dipertimbangkan.

“Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan ini terpakai bagi semua yang terlibat dengan industri sawit termasuk pemegang lesen MPOB.

“Dalam usaha mengawal selia industri sawit, MPOB tidak boleh dilihat sebagai mengamalkan penguatkuasaan terpilih (selective enforcement). Laporan akhbar sebelum ini menyiarkan dakwaan pihak tertentu terhadap tindakan penguatkuasaan MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab mengawal selia industri sawit,” katanya.

Katanya, pihak industri dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti salah laku dalam industri sawit digesa memaklumkan kepada MPOB untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya