fbpx

4 Disember 2020, 10:36 pm

  TERKINI

Muhyiddin pengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal Negara

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal 2020 bagi meneliti kedudukan fiskal dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana. 

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, situasi ekonomi global pada tahun ini adalah amat mencabar berikutan pandemik Covid-19 dan menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak 8.3 peratus pada separuh tahun pertama 2020.

Namun, katanya, ia dijangka lebih baik bagi tempoh separuh kedua dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta pelaksanaan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi. 

Jelasnya, jawatan kuasa berkenaan turut bersetuju memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi terutama merancak dan menarik pelaburan berkualiti berimpak tinggi serta mempunyai kesan pengganda kepada ekonomi.

“Jawatan kuasa telah membincangkan anggaran dan prospek pertumbuhan ekonomi serta kedudukan fiskal kerajaan bagi penyediaan Belanjawan 2021. 

“KDNK dianggarkan menguncup antara 5.5 peratus hingga 3.5 peratus pada tahun ini dan dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 8 peratus pada tahun depan,” katanya di sini.

Menurut kenyataan itu, jawatan kuasa berkenaan turut dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Selain itu, turut melengkapi jawatan kuasa itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussein.

Katanya, ahli jawatan kuasa turut membincangkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan serta memastikan tanggungjawab fiskal dengan mengambil pendekatan yang seimbang.

Pada masa sama, katanya, langkah turut diambil bagi menyokong momentum pemulihan dengan fokus untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan yang terjejas teruk berikutan krisis ini.

” Ini adalah bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diberikan kerajaan untuk rakyat di samping langkah-langkah untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi sedang diperinci dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020,” katanya.

Menurutnya, defisit fiskal berbanding KDNK bagi tahun 2020 dianggarkan mencatat sasaran 5.8 peratus hingga enam peratus dan paras itu dijangka terus berkurangan pada 2021. 

“Langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara lebih berhemah mengambil kira tahun 2021 merupakan tahun peralihan fasa pemulihan krisis Covid-19. 

“Kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang diluluskan dan langkah-langkah di bawah pakej rangsangan dilaksana dengan segera bagi membantu negara pulih dari krisis pandemik ini secepat yang mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE