Mr. DIY terbit 941.49 juta saham IPO - Utusan Malaysia

Mr. DIY terbit 941.49 juta saham IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat kelengkapan harian, Mr. DIY Group (M) Bhd. (Mr. DIY) akan menerbitkan 941.49 juta saham biasa baharu dan sedia ada sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia.

Syarikat itu akan menawarkan 470.75 juta saham IPO kepada pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala 309.21 juta saham biasa sedia ada kepada institusi Malaysia dan pelabur terpilih, institusi asing dan pelabur terpilih di luar Amerika Syarikat (AS) dan pembeli berinstitusi yang layak di dalam AS.

Sementara itu, tawaran runcitnya merangkumi 36 juta saham biasa baharu untuk pengarah-pengarah dan pekerja syarikat itu termasuk individu berkelayakan yang telah me­nyumbang kepada kejayaan syarikat itu dan 125.53 juta saham biasa baharu kepada orang awam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong, terbitan saham tersebut adalah pencapaian besar Mr. DIY yang membawanya semakin hampir menjadi syarikat tersenarai.

“Walaupun pasaran menerima impak teruk Covid-19 sejak beberapa bulan lalu, kami bertahan sebagai sebuah kumpulan dan menghargai peluang ini untuk bergerak ke fasa pertumbuhan yang seterusnya.

“Kemasukan ke pasaran modal akan membantu mempercepat rancangan pertumbuhan kami, ketika kami terus meluaskan rangkaian kedai untuk mengambil kesempatan atas sektor peruncitan pembaikan rumah yang kurang ditembusi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut sumber yang dipetik The Edge, Mr. DIY mungkin disenaraikan paling awal pada suku keempat tahun ini selepas berjaya pulih cepat daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya