Mah Sing rancang terbit sukuk RM100 juta - Utusan Malaysia

Mah Sing rancang terbit sukuk RM100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) merancang untuk menerbitkan sukuk murabahah bernilai RM100 juta sebagai sumber dana untuk pelaburan masa hadapan dan memenuhi keperluan modal kerjanya.

Sukuk tersebut adalah sukuk tanpa kadar dengan tempoh tujuh tahun boleh tukar dan boleh tebus.

Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia, Mah Sing mengumumkan, terbitan sukuk tersebut adalah sebahagian daripada program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) mereka dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

Untuk rekod, kumpulan itu telah menyelesaikan terbitan sukuk murabahah tanpa kadar dan bercagar pertamanya bernilai RM600 juta pada 13 Mac lalu.

Pemegang sukuk boleh menukarnya kepada saham Mah Sing pada harga 75.5 sen pada bila-bila masa selepas tarikh penerbitannya matang. Harga saham Mah Sing hari ini ditutup pada harga 71.5 sen.

Daripada RM100 juta yang akan dikumpul, kumpulan itu telah menetapkan RM95 juta daripadanya akan digunakan untuk pelaburan masa hadapan manakala baki RM5 juta lagi untuk keperluan modal kerja.

“Sekiranya kumpulan gagal mendapatkan mana-mana pelaburan perniagaan yang bersesuaian dalam masa yang ditetapkan (atau mana-mana tempoh masa yang diperpanjang, jika dibenarkan), jumlah yang ditetapkan untuk pelaburan masa hadapan akan dipindahkan untuk tujuan modal kerja umum kumpulan,” katanya.

Mengambil kira kesemua 132.45 juta saham penukaran ditukarkan oleh pemegang sukuk, modal syer Mah Sing boleh meningkat kepada 2.56 bilion syer, berbanding 2.43 bilion syer sekarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya