Gelombang Covid-19 ancam harga minyak - Utusan Malaysia

Gelombang Covid-19 ancam harga minyak

Pemulihan ekonomi AS dan Eropah yang terbantut disebabkan kebimbangan penularan Covid-19 turut memberi kesan kepada harga minyak global. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Harga minyak yang diniagakan untuk pasaran hadapan merudum semalam di sebalik kebimbangan pemulihan perlahan ekonomi pengguna terbesar minyak dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan kes Covid-19 di Eropah.

Kebimbangan itu membuatkan pelabur beralih ke aset yang lebih selamat dan mendorong peningkatan dolar AS sekali gus menambah tekanan kepada harga minyak.
Pengukuhan dolar AS menjadikan minyak yang diniagakan dalam mata wang tersebut kurang menarik bagi pembeli global.

Harga minyak mentah niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS turun 36 sen atau 0.9 peratus kepada AS$39.57 (RM164.67) satu tong sementara niaga hadapan minyak mentah Brent turun 28 sen atau 0.7 peratus kepada AS$41.49 (RM172.66) satu tong.

Kedua-dua penanda aras itu naik sedikit kelmarin setelah data kerajaan menunjukkan stok minyak mentah dan bahan bakar AS menurun minggu lalu.

Inventori petrol turun lebih daripada jangkaan apabila merosot empat juta tong manakala stok penyulingan termasuk diesel dan bahan bakar jet turut mencatatkan penurunan mengejutkan iaitu sebanyak 3.4 juta tong.

Namun begitu, permintaan bahan bakar di AS tetap lemah memandangkan penularan Covid-19 telah membataskan perjalanan rakyat dengan purata permintaan petrol berjumlah 8.5 juta tong sehari minggu lalu, turun sembilan peratus daripada tahun sebelumnya.

Harga menurun setelah data menunjukkan aktiviti perniagaan AS perlahan pada September dengan pegawai Rizab Persekutuan AS menyatakan kebimbangan mengenai pemulihan yang terhenti.

Sekatan United Kingdom dan Jerman untuk membendung jangkitan Covid-19 baharu turut mempengaruhi tinjauan permintaan bahan bakar.

Dari segi bekalan, pasaran kekal berwaspada untuk meneruskan eksport dari Libya walaupun belum jelas negara itu mampu meningkatkan volum. Libya National Oil Corp. (NOC) berusaha meningkatkan pengeluaran kepada 260,000 tong sehari menjelang minggu hadapan.

“Itu jelas akan menjadi sesuatu yang tidak diperlukan oleh pasaran minyak sekarang,” kata Penganalisis Komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar.

ANZ Research pula menunjukkan peningkatan kes Covid-19 di Eropah yang mengurangkan permintaan perjalanan dengan perjalanan udara 60 peratus lebih rendah berbanding 2019 berikutan penurunan mendadak selama dua minggu terakhir ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya