fbpx

26 Oktober 2020, 5:22 pm

  TERKINI

Ekonomi dijangka lebih baik pada 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik menjelang 2021 setelah Indeks Pelopor (IP) dan Indeks Serentak (IS) pada Julai mencatatkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP yang mengukur hala tuju ekonomi ke hadapan menunjukkan peningkatan tahunan selama tiga bulan berturut-turut.

“IP menunjukkan lonjakan ketara yang menggambarkan pemulihan ekonomi dalam masa terdekat dan menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik menjelang 2021.

“Walau bagaimanapun, isyarat perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana wabak (Covid-19) masih kekal di Malaysia dan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

IP berkembang 7.7 peratus kepada 109.2 mata pada Julai tahun ini, berbanding 101.4 mata pada Julai tahun lalu.

Berdasarkan bulan ke bulan, IP meningkat 4.4 peratus dengan mata positif terbesar disumbangkan oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia sebanyak 1.8 peratus.

Sementara itu, IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan negatif 2.4 peratus (Julai 2020) berbanding 3.1 peratus (Jun 2020).

Menurut Mohd. Uzir, trend IS secara beransur-ansur meningkat sejak Mei 2020 dan perubahan bulanan IS meningkat 1.3 peratus dengan sokongan utamanya datang daripada Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit sebanyak 1.1 peratus.

“Peningkatan IS selari dengan petunjuk ekonomi lain seperti borong dan runcit, pembuatan serta sektor luaran. Indeks Volum Perdagangan Borong dan Runcit mula menunjukkan tanda pemulihan. Indeks mencatatkan 127.7 mata, merekodkan pertumbuhan tahunan yang lebih baik iaitu negatif 3.9 peratus.

“Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 1.2 peratus pada Julai 2020, menunjukkan pertumbuhan positif untuk kali pertama sejak Februari 2020. Peningkatan IPP pada Julai 2020 disebabkan oleh kenaikan 2.9 peratus dalam Indeks Pembuatan.

“Pada masa yang sama, eksport terus mencatat pertumbuhan positif pada Julai 2020, berkembang 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.5 bilion. Ini adalah nilai tertinggi sejak November 2018,” katanya.  – UTUSAN

BERITA BERKAITAN