fbpx

24 September 2020, 5:10 pm

  TERKINI

UDA sedia insentif RM10 juta bantu peniaga kecil

JALALUDDIN Alias (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan daging korban kepada salah seorang penerima pada Program Korban Perdana UDA 2020 di Seremban, semalam. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOR SHAFAWATI YUP

 

SEREMBAN: Uda Holding Berhad (UDA) memperuntukkan insentif sebanyak RM10 juta kepada 1,500 peniaga kecil bumiputera seluruh negara bagi meringankan beban dihadapi ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu go­longan berkenaan yang terlibat dengan premis seliaan UDA se­perti di Uda Mall, Kompleks Pertama, Angsana Johor, Angsana Ipoh dan Angsana Seremban.

“Insentif itu adalah dalam bentuk pengecualian sewa satu bulan (keseluruhan) kepada penye­wa yang menjual barangan bukan keperluan utama dan 50 peratus diskaun kepada penyewa ba­rangan utama semasa tempoh Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini bergantung kepada jenis perniagaan memandangkan ada premis yang langsung tidak boleh beroperasi semasa pandemik Covid-19 ini,” katanya selepas Program Korban Perdana UDA 2020 di sini semalam.

Menurut Jalaluddin lagi, pe­ngurangan sewa 20 peratus turut diberi kepada penyewa setelah tamat tempoh PKP sehingga September 2020 bergantung kepada keadaan.

“Bagi penyewa tetap, mereka dibenarkan mempunyai sewa tertunggak selama tiga bulan berkuat kuasa sehingga 30 September depan.

“Dengan insentif ini, diharap perolehan daripada perniagaan dapat digunakan bagi merangsang perniagaan usahawan dan ekonomi mereka,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Jalaluddin turut ­menyampaikan sumbangan daging korban kepada 50 golongan asnaf dan komuniti UDA di sekitar Seremban.

Program Korban Perdana UDA 2020 itu dijalankan serentak di seluruh negara bermula 31 Julai lalu dengan keseluruhan antara 50 hingga 60 ekor lembu daging korban diagihkan mengikut kawasan.

“Menerusi pelaksanaan korban ini, UDA berharap dapat membatu komuniti setempat mengimarahkan lagi suasana surau dan masjid serta memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN