Sukuk Prihatin RM500j dilancar - Utusan Malaysia

Sukuk Prihatin RM500j dilancar

AL-SULTAN ABDULLAH RI`AYATUDDIN merasmikan pelancaran Sukuk Prihatin di Putrajaya, semalam. Turut mengiringi baginda, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan Sukuk Prihatin patuh syariah berjumlah RM500 juta yang akan memberi manfaat kepada segenap lapisan rakyat dan sektor korporat.
Kemudahan melanggan sukuk berkenaan pula ditawarkan oleh sektor perbankan negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sukuk itu merupakan satu daripada inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu.

Katanya, dalam strategi 6R kerajaan yang merangkumi enam pendekatan iaitu resolve (tekad); resilience (ketahanan); restart (mula semula) ; recovery (pemulihan); revitalise (hidup semula) dan reform (pembaharuan), hasil penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk langkah pemulihan iaitu pendekatan yang keempat.

“Sukuk ini diharapkan dapat membantu usaha menjamin kesejahteraan hidup pihak berkepentingan yang disasarkan.

“Terbitan sukuk patuh syariah ini adalah hasil permintaan daripada pelbagai pihak untuk turut sama membantu dalam usa­ha pemulihan negara kita yang tercinta,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sukuk Prihatin di Istana Melawati di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan melancarkan sukuk berkenaan.

Tambah Tengku Zafrul, ia adalah penerbitan sukuk pertama oleh kerajaan yang boleh dilanggani atau dibeli 100 peratus melalui perkhidmatan perbankan digital, menggunakan kemudahan JomPAY dan DuitNow.

Beliau memberitahu, jumlah minimum bagi pelaburan pertama ialah RM500 dan kadar keuntungan adalah dua peratus setahun, selama dua tahun.

“Ini merupakan satu kadar yang kompetitif memandangkan ia ditetapkan selama dua tahun. Keuntungan akan dikreditkan ke dalam akaun pelabur setiap suku tahun.

“Dalam masa dua tahun, pelabur boleh memilih untuk menderma jumlah langganan kepada Kumpulan Wang Covid-19 dan jumlah ini akan diberi potongan cukai.

“Insya-Allah, dengan penerbitan sukuk ini dan juga sokongan rakyat yang berjiwa patriotik dan bersemangat nasionalisme, Malaysia akan segera pulih dan kemakmuran akan terus dikecapi bersama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya