Pelan pemulihan dan penstrukturan kompleks punca lewat - Utusan Malaysia

Pelan pemulihan dan penstrukturan kompleks punca lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUALA LUMPUR: Kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) 2018 berpunca daripada pelan pemulihan dan penstrukturan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu adalah suatu perkara yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

TH dalam kenyataannya berkata, keadaan tersebut menyebabkan proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) memakan masa yang lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan laporan tersebut.

Katanya, laporan dan penyata telah dihantar kepada JAN pada April 2019 namun Sijil Audit Bersih dari Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019.

“TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan-ulasan daripada agensi kerajaan berkaitan di mana ia telah diperoleh pada 19 Disember 2019.

“Ulasan itu kemudiannya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.

Menurut kenyataan itu, Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH 2018 yang telah diaudit tidak dapat dibentangkan pada tahun lalu ekoran sidang Parlimen telah berakhir pada 19 Disember 2019.

 Katanya, perancangan asal adalah untuk laporan tersebut dibentang di Parlimen semasa sidang Parlimen Mac lalu, namun tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen (hari ini) setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu,” katanya.

Tambah kenyataan itu, proses pengauditan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH 2019 sedang dijalankan.

“Selepas pengauditan selesai, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dikemukakan di Parlimen,” katanya.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH 2018 yang telah diaudit boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya