Pasaran hilang momentum - Utusan Malaysia

Pasaran hilang momentum

EKONOMI negara dijangka terus alami pertumbuhan pada tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dipengaruhi ketidaktentuan politik, kebimbangan peningkatan Covid-19

KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran modal negara dijangka berhadapan cabaran besar susulan ketidakstabilan politik yang melanda negara di samping kebimbangan berlakunya ledakan gelombang kedua Covid-19.

Pasaran tempatan semalam susut 31.14 mata kepada 1,572.61 mata melibatkan 13.12 bilion saham bertukar tangan bernilai RM8.24 bilion, iaitu jumlah dagangan tertinggi berbanding 12.49 bilion bernilai RM6.64 bi­lion pada 20 Julai lalu.

Ini dipacu oleh jualan besar-besaran membabitkan saham-saham berharga rendah dalam sektor pengguna dan perindustrian selain permintaan yang terus ketara terhadap saham-saham pengeluar sarung tangan.

Ia menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 707 berbanding 505 manakala 294 kaunter tidak berubah.

Penurunan ini seiring ke­banyakan pasaran Asia dan Eropah yang menjunam semalam disebabkan sentimen penularan wabak Covid-19 yang telah memaksa beberapa kawalan pergerakan baharu dan mencetuskan kebimbangan terhadap ekonomi global.

Namun begitu, penurunan kadar FBM KLCI yang dijangka berlaku minggu ini dilihat tidak akan menganggu pertumbuhan berterusan kaunter sarung ta­ngan getah yang terus kekal menjadi pilihan utama minggu ini.

Pada masa sama, kaunter teknologi turut mendapat perhatian pelabur berikutan pe­ningkatan drastik kes Covid-19 di negara lain termasuk Jepun.

Penganalisis juga melihat ketidaktentuan politik negara akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham tempatan ter­utama keputusan yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Khamis lalu bahawa parti itu tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi memperkasa Muafakat Nasional bersama Pas dan komponen Barisan Nasional (BN).

Bukan itu sahaja, pengumuman Ketua Menteri Sabah, ­Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) turut mendorong kepada prestasi ­lebih perlahan Bursa Malaysia.

Pandangan sama turut di­suarakan Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim yang berpendapat prestasi FBM KLCI akan terkesan disebabkan keputusan politik dan PRN Sabah yang akan diadakan kelak.

Sehubungan itu, Adam berkata, FBM KLCI dijangka berlegar pada paras 1,550 hingga 1,600 mata minggu ini.

“Ini dijangka berlaku selepas melihat kepada reaksi pelabur yang melihat data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua yang disifatkan amat ­teruk dan kemungkinan peningkatan kadar penggangguran di AS.

“Jadi, ada kemungkinan FBM KLCI akan berada di bawah paras 1,600 mata sepanjang minggu ini melainkan terdapat faktor positif seperti perkembangan pembuat­an vaksin Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Nilai pasaran saham negara telah merekodkan peningkatan mendadak iaitu 41 peratus sehingga mencecah AS$379 bilion (RM1.61 trillion) sejak mencatat paras terendah Mac lalu, hanya kurang AS$4 bilion (RM17 bilion) berbanding pasaran modal ­Singapura, minggu lalu.

Aliran keluar bersih asing di Bursa Malaysia turut mene­rima sentimen positif apabila mencatat penurunan kepada RM226.1 juta minggu lalu berbanding RM910.2 juta minggu sebelumnya menjadikan minggu ke-24 berturut-turut penjual­an bersih dana asing.

Adam bagaimanapun berkata, pengurangan aliran dana keluar itu berikutan aktiviti perdagangan saham yang terhad memandangkan cuti hujung minggu lebih panjang sempena Hari Raya Aidiladha.

Bursa Malaysia turut merekodkan pengeluaran aliran dana ­asing sebanyak RM19 bilion ­setakat Julai tetapi masih menjadikan Malaysia sebagai negara keempat terkecil dari segi jualan aliran dana keluar bersih asing berbanding enam pasaran Asia lain.

Kejatuhan harga minyak mentah di bawah paras AS$40 (RM168.90) satu tong disebab­kan Pertubuhan Negara Pengeks­port Petroleum (OPEC) dan negara pengeluar sekutu lain mula membekalkan lebih ­banyak minyak mentah ke pasaran global ketika banyak ­negara masih berdepan kesukaran membendung Covid-19 turut ­dijangka memberi kesan langsung kepada pasaran saham tempatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya