Kejatuhan prestasi jejaskan Bursa - Utusan Malaysia

Kejatuhan prestasi jejaskan Bursa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sehingga menghentikan aktiviti ekonomi sememangnya memberi kesan terhadap prestasi pemain industri.

Kesan pelaksanaan PKP pada sebahagian besar suku kedua tahun ini, mula kelihatan apabila kebanyakan syarikat besar membabitkan sektor bukan kesihatan atau sarung tangan, menca­tatkan penyusutan prestasi kewangan terutama dalam tempoh tiga bulan pada April hingga Jun 2020.

Susulan kerugian bersih yang dicatatkan dalam suku pertama berakhir 31 Mac lalu berjumlah RM803.55 juta, AirAsia Group Bhd. terus merekodkan pe­ningkatan kerugian sehingga RM992.89 juta.

Pendapatan syarikat penerbangan itu turut berkurang 95 peratus kepada RM118.96 juta daripada RM2.92 bilion sebe­lumnya dengan 42 peratus daripada hasil tersebut disumbangkan operasi kargo dan logistik.

Pengedar jenama kenderaan Nissan di Malaysia, Tan Chong Motor Holdings Bhd. turut merekodkan kerugian bersih berjumlah RM79.36 juta dalam suku pertama tahun ini berbanding keuntungan RM19.43 juta dalam tempoh sama tahun lalu akibat prestasi bahagian automotif yang terjejas. Pendapatan Tan Chong Motor turut jatuh kepada RM512.89 juta daripada RM1.07 bilion.

Sunway Bhd. turut menca­tatkan kerugian bersih sebanyak RM6.71 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berban­ding keuntungan bersih RM78.29 juta dalam suku sebelumnya disebabkan penutupan segmen perniagaan semasa PKP.

Namun begitu, ke­rugian Pos Malaysia Bhd. dalam tempoh tiga bulan kedua tahun ini berjaya dikurangkan kepada RM19.02 juta, kerugian bagi lapan suku berturut-turut iaitu daripada RM49.22 juta dalam suku sebelumnya didorong oleh peningkatan perolehan.

Pendapatan syarikat itu berkembang 8.51 peratus kepada RM606.08 juta berban­ding RM558.53 juta kebanyakannya disumbangkan perniagaan perkhidmatan penghantaran.

Kemerosotan prestasi kewangan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia itu dijangka memberi impak negatif dan menghimpit prestasi indeks penanda aras tertinggi negara dalam masa terdekat.

Menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim, penyusutan pres­tasi kewangan itu telah menyebabkan pelabur mengambil kesempatan untuk mela­kukan penjualan saham bagi mengurangkan kerugian yang dialami.

Beliau berkata, penjualan saham syarikat-syarikat besar yang berterusan akibat prospek kurang menarik sudah tentu memberi impak kepada Bursa secara kese­luruhan dalam masa terdekat.

Adam berkata, setakat ming­gu ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM237.1 juta saham tersenarai di Bursa Malaysia yang mengatasi penjualan saham oleh pelabur runcit tempatan sebanyak RM148.7 juta.

“Minggu ini adalah minggu terakhir untuk syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa me­ngumumkan prestasi kewangan mereka bagi suku kedua 2020. Pada waktu inilah kebiasaannya sektor perbankan mengumumkan prestasi kewangan mereka.

“Affin Bank telah mengumumkan prestasi kewangan mereka bagi suku kedua 2020 di mana syarikat tersebut mencatatkan penurunan keuntungan bersih 56.8 peratus berikutan moratorium pinjaman.

“Jika bank-bank lain juga menunjukkan penurunan keuntungan, kemungkinan paras sokongan boleh menjadi 1,540 mata kerana sektor perbankan mempunyai peratusan tertinggi dari segi permodalan pasaran dalam kalangan ahli indeks FBM KLCI iaitu melebihi 20 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Indeks penanda aras KLCI ditutup pada paras 1,549.58 mata dalam sesi dagangan semalam, turun 0.35 peratus berbanding 1,554.96 dalam sesi dagangan Selasa dengan 12.1 bilion saham bertukar tangan bernilai RM6.18 bilion.

Walau bagaimanapun, kaun­ter untung mengatasi kaunter rugi pada 705 berbanding 424 manakala 379 kaunter tidak berubah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN