FGV hasilkan sejuta varieti pisang klon - Utusan Malaysia

FGV hasilkan sejuta varieti pisang klon

FGV Innovation Centre di Bandar Enstek menghasilkan varieti pisang klon untuk memenuhi permintaan pasaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai kajian pisang klon, ia terus membuka peluang kepada FGV Holdings Berhad (FGV) untuk menghasilkan pengeluaran besar-besaran varieti pisang klon berkualiti tinggi.

FGV menyasarkan untuk menghasilkan sejuta pisang klon pada 2021, peningkatan 100 peratus daripada pengeluaran semasa untuk memenuhi permintaan pasaran khususnya pisang segar dan untuk industri makanan berasaskan pisang. Dengan ini, FGV dapat memenuhi sekitar 30 peratus permintaan penggunaan negara untuk buah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kualiti tinggi benih pisang klon yang dihasilkan FGV terbukti dengan lebih daripada enam juta ramet pisang berangan terjual antara 2007 hingga Julai 2020, menjadikan FGV salah satu pengeluar benih pisang klon terbesar di Malaysia.

“Pusat Inovasi FGV yang terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan menghasilkan varieti pisang klon untuk memenuhi permintaan industri sawit di dalam tempoh tanam semula dan petani pisang di negara ini.

“Dengan penyelidik yang berpengalaman dan berdedikasi dalam pengeluaran kultur tisu, nasihat teknikal dan operasi tapak semaian, FGV mempunyai kepakaran untuk menyokong agropreneur pisang dan pekebun kecil dengan benih pisang klon terbaik, kontrak pengklonan pisang dan pertanian kontrak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan langkah strategik FGV untuk meluaskan inisiatif Pertanian Bersepadu dan pada masa sama meningkatkan pengeluaran pisang tempatan dengan sasaran penguasan pasaran sebanyak 50 peratus atau bersamaan 1.7 juta anak benih yang akhirnya akan meningkatkan kehidupan petani pisang di Malaysia.

Pisang dikenalpasti mempunyai permintaan yang paling banyak dan merupakan tanaman kontan paling laris di Malaysia yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk pekebun kelapa sawit semasa fasa belum matang menggunakan sistem tanaman selingan.

Varieti pisang yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan petani tempatan adalah berangan dan FGV kini menghasilkan 850,000 ramet setiap tahun. Pokok pisang induk FGV iaitu klon berangan diperakui oleh Jabatan Pertanian di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman.

Anak benih pisang klon yang dihasilkan oleh FGV bebas penyakit, mempunyai pertumbuhan yang seragam dan mampu mengeluarkan hasil lebih awal dibandingkan dengan bahan penanaman sulur.

Anak pokok pisang klon FGV merangkumi beberapa jenis seperti tanduk, lang, nipah, nangka, rastali, mas dan lemak manis tersedia untuk pembelian pukal di lima tapak semaian yang terletak di Bandar Enstek (Negeri Sembilan), Trolak (Perak), Jerantut (Pahang), Bukit Tongkat (Johor) dan Lahad Datu (Sabah).

Anak pokok pisang klon juga dijual secara dalam talian melalui platform Shopee di bawah FGV Agri Services Sdn Bhd.

Susulan itu, FGV kini mengembangkan bahan penanaman klon untuk tanaman bernilai tinggi seperti nanas, buluh, vanila dan tanaman air untuk memenuhi permintaan pasaran yang tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya