Sektor hartanah diunjur pulih separuh kedua - Utusan Malaysia

Sektor hartanah diunjur pulih separuh kedua

Kenaikan harga bahan binaan dikhuatiri turut menyebabkan rumah baharu dijual lebih mahal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah yang menerima impak negatif menerusi jualan lemah pada suku pertama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diunjur meningkat secara beransur-ansur menjelang separuh kedua tahun ini.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Teing berkata, unjuran berkenaan mengambil kira inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) termasuk pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi kediaman berharga RM300,000 hingga RM2.5 juta daripada 1 Jun hingga 31 Disember depan.

Selain itu, menurut Jessica, pelaksanaan had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah serta pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun hingga Disember 2021 merangsang pembelian, sekali gus menyokong jualan hartanah baharu.

Sehubungan itu, Jessica turut mengubah cadangan daripada neutral kepada ‘positif’ bagi sektor hartanah susulan unjuran pemulihan industri itu dalam separuh kedua tahun ini disebabkan inisiatif Penjana di samping kadar faedah yang rendah.

“Perubahan budaya kerja disebabkan pandemik Covid-19 yang membuatkan lebih ramai pekerja untuk bekerja dari rumah juga memainkan peranan kepada keputusan pembeli di mana mereka mungkin mencari kediaman lebih luas dan kehidupan baik mengikut kesesuaian budaya kerja dari rumah.

“Permintaan pinjaman juga dijangka pulih pada separuh kedua 2020 apabila statistik pinjaman yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati permohonan pinjaman bagi pembeli hartanah melonjak 52.9 peratus kepada RM13.1 bilion pada Mei berbanding kemerosotan sehingga 64.8 peratus pada April disebabkan PKP,” katanya dalam nota kajian semalam.

Pada masa sama, Jessica berkata, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) yang dilaksa­nakan untuk kali keempat tahun ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada kadar 1.75 peratus disifatkan langkah positif bagi meningkatkan kuasa beli pengguna dengan mengurangkan ­ansuran bulanan pinjaman.

“Kami merasakan kadar ­faedah terendah ini akan sekurang-kurangnya membantu menyelesaikan isu pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan dalam masa sama meningkatkan kemampuan pembeli,” katanya.

Jessica berkata, kaunter saham bidang hartanah juga telah dinilai kurang daripada harga sebenar dan sepatutnya didagang pada penilaian tinggi mengambil kira pemulihan berperingkat sektor tersebut.

“Kami berpendapat pelabur sepatutnya melihat pemulihan jualan hartanah baharu dan peningkatan pendapatan pemaju susulan insentif Penjana serta kadar faedah rendah di sam­ping inventori kediaman yang semakin berkurang sekali gus mengurangkan kebimbangan lambakan perumahan.

“Kami meningkatkan sektor hartanah kepada cadangan ‘positif’ dengan dua syarikat iaitu SP Setia dan Mah Sing akan mendahului senarai. Kedua-dua syarikat itu dipilih memandangkan produk ditawarkan lebih kepada rumah mampu milik ke sederhana tinggi yang memenuhi permintaan pembeli,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya