Alibaba, rakan kongsi labur AS$400 juta di Vietnam - Utusan Malaysia

Alibaba, rakan kongsi labur AS$400 juta di Vietnam

Pelaburan Alibaba di Vietnam bertujuan mengembangkan perniagaan dalam taliannya di rantau Asia Tenggara. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Alibaba Group Holding Ltd. bersama rakan kongsinya membuat pelaburan bernilai AS$400 juta (RM1.65 bilion) dalam cabang runcit konglomerat Vietnam, Masan Group Corp., yang akan mengembangkan perniagaan barang runcit dalam talian gergasi e-dagang China itu di Asia Tenggara.

Alibaba dan Baring Private Equity Asia mengetuai konsortium tersebut yang akan memperoleh 5.5 peratus pegangan dalam The CrownX, yang memegang kepentingan Masan dalam Masan Consumer Holdings dan VinCommerce, manakala konglomerat itu akan memiliki 80.2 peratus pegangan firma tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Perjanjian itu menggambarkan penilaian sebelum pelaburan sebanyak AS$6.9 bilion (RM28.47 bilion) untuk Then CrownX.

Masan kini dalam perbinca­ngan lanjut bersama pelabur lain untuk pelaburan seterus­nya bernilai AS$300 juta (RM1.24 bilion) ke AS$400 juta dalam The CrownX yang dijangka ditutup pada tahun ini.

Saham syarikat Vietnam itu reli sehingga 2.7 peratus dalam dagangan awal semalam.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma runcit Viet­nam itu akan bekerjasama de­ngan unit Asia Tenggara Alibaba, Lazada untuk mengembangkan perniagaan digitalnya dalam negara itu.

Syarikat milik Jack Ma itu berusaha untuk mengembangkan kedudukannya di Asia Tenggara yang mempunyai populasi lebih 650 juta orang, ketika persaingan dan perundangan semakin ketat di China.

Ekonomi digital Vietnam diunjurkan tumbuh kepada AS$52 bilion (RM214.53 bilion) pada 2025, peningkatan tahunan sebanyak 29 peratus berbanding 2020, menurut jangkaan Bain & Co., Google dan Temasek.

Penganalisis kanan Bloom­berg Intelligence, Vey-Sern Ling berkata, langkah tersebut dapat mengukuhkan kedudukan persaingan Lazada dengan meluaskan lagi tawarannya dalam produk runcit, seperti pemerolehan RedMart di Singapura.

“Pasaran e-dagang Asia Tenggara sedang tumbuh dan Alibaba mungkin akan melabur lebih banyak pada masa akan datang, memandangkan persaingan dalam rantau itu semakin me­ningkat,” katanya.

VinCommerce akan membekalkan produk runcit kepada platform e-dagang Lazada di Vietnam dan mengubah kedai fizikalnya kepada titik pengambilan untuk tempahan dalam talian, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Katanya, produk runcit me­rangkumi separuh daripada pasaran runcit negara itu dan suku daripada perbelanjaan pengguna namun penembusan dalam talian masih bertumbuh. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.