IPOH: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan hanya pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS), Kuala Kangsar sahaja dikesan positif Covid-19 setakat kini.
Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya hanya menerima laporan kes jangkitan wabak itu di Perak dan tiada sebarang laporan membabitkan lain-lain MRSM di seluruh negara.
“Berdasarkan laporan di Perak, terdapat 20 orang pelajar yang masih dalam pemantauan pejabat kesihatan daerah disebabkan jangkitan Covid-19.
“Keadaan mereka baik dan kesemuanya masih ditempatkan di asrama maktab tersebut manakala yang lainnya sudah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan program Canggih Go dan pembukaan outlet Canggih Sutera Sdn. Bhd di Ampang Baru di sini hari ini.
Azizah menasihatkan agar para pelajar MRSM sentiasa mengikut pematuhan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta pihak pengurusan masing-masing walaupun sudah menerima vaksin lengkap.
Katanya, pelajar-pelajar MRSM perlu mempertingkatkan kawalan kendiri termasuk semasa berada di rumah.
“Kita harus memastikan pematuhan pada tahap yang tertinggi diperkenalkan supaya perkara seperti ini dapat dikurangkan.
“Walaupun agak mustahil untuk menghilangkan terus penyakit akibat wabak ini, namun, kita usahakan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, katanya, masih terdapat tenaga pengajar di MRSM yang belum menerima suntikan vaksin, bagaimana pun jumlahnya kecil.
“Guru-guru yang tidak divaksin ini bukan disebabkan enggan atau menolak, tetapi, lebih kepada faktor kesihatan,” katanya.
Pada masa ini, jumlah tenaga pengajar di semua MRSM adalah seramai 5,143 orang. – UTUSAN ONLINE