‘Seronok dapat mengundi di usia emas’ - Utusan Malaysia

‘Seronok dapat mengundi di usia emas’

BAHARI Siron bersama Rasnah Simpon selesai membuang undi di pusat mengundi SK Jeram di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri warga emas bangun seawal pukul 5 pagi untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Pesara kerajaan, Bahari Siron, 78, hadir bersama isterinya, Rasnah Simpon, 67, pada pukul 8.15 pagi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah dekat sini.

Katanya, meskipun berkerusi roda dia tetap bersemangat mengundi calon yang layak untuk diangkat sebagai wakil rakyat di Tanjung Bidara.

“Pagi tadi saya bangun pukul 5 pagi untuk solat subuh, kemudian terus bersiap pergi mengundi. Rasa seronok dapat mengundi lagi dalam usia sebegini.

“Sudah banyak kali mengundi dalam pilihan raya sehingga tidak ingat ini kali yang ke berapa. Paling penting pak cik tidak pernah lupa tunaikan tanggungjawab setiap kali pilihan raya diadakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Datuk Mas Ermieyati dan Zainal Hassan, masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Rasnah berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat mampu menjamin keselamatan pengundi terutama warga emas.

Menurutnya, dia sendiri bimbang keluar mengundi kerana berlakunya peningkatan kes Covid-19 di Melaka.

“Selain teruja mengundi, faktor keselamatan turut diambil kira dengan keluar mengundi pada awal pagi ketika pusat pengundian masih lengang.

“Apa-apa pun, mak cik harapkan yang terbaik dan orang ramai patuhilah SOP SPR untuk keselamatan kita bersama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN