800 pusat dialisis rugi sepanjang pandemik - Utusan Malaysia

800 pusat dialisis rugi sepanjang pandemik

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 800 pusat rawatan dialisis terpaksa menanggung beban kerugian sebelum ini akibat penularan wabak Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia (PPDM), Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, semua pusat dialisis tersebut terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk pembelian peralatan perlindungan diri (PPE), sanitasi dan kuarantin pekerja.

Sehubungan itu, kerajaan dicadang menetapkan harga siling rawatan dialisis sebanyak RM250 setiap kali sesi bagi menangani peningkatan kos terutama ketika penularan wabak Covid-19.

“Walau seteruk mana kes Covid-19 sekalipun, kami yang mengoperasikan pusat dialisis tidak dibenarkan untuk tutup. Pernah ada pesakit yang datang buat rawatan dan kemudiannya disahkan Covid-19. Jadi bayangkan segala prosedur operasi standard (SOP) termasuk proses sanitasi dalam tempoh 24 jam perlu dilakukan supaya boleh beroperasi keesokan harinya.

“Malah ada sampai satu ketika, pusat dialisis yang baru selesai sanitasi pukul 6.30 pagi terus menerima pesakit dan beroperasi. Itu belum lagi kekangan jururawat selepas ada yang terkena jangkitan Covid-19,” katanya di sini semalam.

Harga yang dikenakan bagi rawatan dialisis adalah sebanyak RM200 setiap kali sesi yang memakan masa kira-kira empat jam.

Tambah Zulkifli, penetapan harga baharu mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di semua pusat dialisis.

“Kalau kebanyakan sebelum ini kita guna dialyzer reuse untuk rawatan, mungkin kita mampu gunakan mesin lain untuk pastikan tahap kebersihan buah pinggang dipertingkatkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN