PUTRAJAYA: Sebanyak lima negeri mencatatkan jumlah tertinggi penerima divaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja berumur 12 hingga
17 tahun dengan Labuan menduduki kedudukan teratas iaitu 77.6 peratus.
Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (PICK-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sehingga Khamis lalu, seramai 1,498,274 (47.6 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin jenis Comirnaty dan 52,774 (1.7 peratus) telah menerima dos lengkap.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, selain Labuan, turut merekodkan pencapaian tertinggi ialah Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus) Perlis (61.8 peratus), dan Melaka (59.4 peratus).
“Kejayaan program ini juga turut mensasarkan semua remaja orang kurang upaya (OKU) tanpa mengira status warganegara atau jenis ketidakupayaan yang berada di institusi atau pusat jagaan OKU berkediaman, pusat pemulihan dalam komuniti (PDK), institusi pendidikan dan remaja OKU terlantar di rumah.
“Berdasarkan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar sehingga 31 Ogos lalu dengan seramai 51,361 (75.8 peratus) adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan.
“Daripada jumlah tersebut, 793 orang (1.5 peratus) adalah murid berkeperluan khas (MBK) berada di sekolah berasrama, selain remaja OKU lain yang berada di 705 institusi pemulihan harian seperti PDK dan Institusi jagaan OKU kerajaan dan swasta, serta 21 institusi OKU berkediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azmi berkata, pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar perlu dilakukan pengetua atau pengusaha atau penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.
Katanya, remaja OKU terlantar di komuniti pula sudah dikenal pasti sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah JKM atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah Oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Proses pemberian vaksin kepada remaja OKU di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara jangkau luar (outreach) dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta atau pasukan kesihatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Remaja OKU terlantar yang tiada dalam senarai di atas pula, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan, atau memaklumkan kepada pejabat kebajikan masyarakat daerah (PKMD) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja tersebut bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata, remaja OKU bersekolah harian juga akan diberi vaksinasi secara berjadual di PPV atau sekolah dan remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.
“Bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU Mental atau dengan komorbid lain, pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan dengan rumah.
“Senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau PKMD untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebelum pemberian janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, manakala bagi ibu bapa yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemberian vaksin dilakukan secara jangkau luar dan berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE