PUTRAJAYA: Untuk tempoh dua hari berturut-turut, tiada lagi lokaliti baharu di negara ini bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
Sebaliknya, menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad, PKPD melibatkan tiga pos penempatan Orang Asli di Pahang disambung lagi bermula Ahad ini antaranya sejumlah 19 perkampungan komuniti Orang Asli dalam kalangan suku kaum Semai di Pos Sinderut dalam Mukim Ulu Jelai, Lipis yang dilanjutkan kali kedua.
Ia meliputi seramai 5,000 penduduk daripada lebih 1,100 keluarga termasuk di Regang, Lubuk Muman, Saweh, Tidol, Bukit Long, Kuala Sinderut, Tual, Janggap, Rangan, Tigol dan Cherung.
Pos berkenaan mula dikenakan PKPD pada 12 September lalu sebelum disambung semula selama 14 hari mulai 26 September akibat penularan wabak dari Kluster Dusun Pak Senam.
Turut dilanjutkan lagi PKPD ialah kawasan Pos Lenjang dan Pos Titom dalam mukim yang sama dengan dihuni lebih 1,000 orang masyarakat Orang Asli serta juga dalam kalangan etnik Sema akibat penularan Kluster Dusun Pak Senam yang sehingga semalam merekodkan jumlah kumulatif 943 kes positif Covid-19.
Bagaimanapun jelas Rodzi, dua perkampungan Orang Asli di negeri tersebut yang dikenakan PKPD sejak 12 September, bakal ditamatkan secara serentak esok seperti dijadualkan iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas, dalam Mukim Kuala Krau, Daerah Temerloh yang didiami suku kaum Jahut disebabkan kluster komuniti setempat pada 18 Ogos.
Beliau menambah, satu lagi lokaliti di negeri berkenaan yang juga berakhir PKPD ialah Rumah Pangsa Jalan Karak, Mukim Mentakab, Daerah Temerloh; selain Sabah pula melibatkan Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber, Batu 46, Tulid, Sook di Keningau.