KUALA PILAH: Seramai 20 orang disahkan dijangkiti Covid-19 melibatkan sebuah majlis perkahwinan di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, saringan kontak rapat telah dijalankan pada 4 dan 5 Oktober lalu.
“Hasil saringan mendapati 20 orang positif, empat orang negatif manakala 15 orang lagi belum diketahui keputusan ujian saringan daripada keseluruhan 39 individu yang disaring.
“Ia melibatkan tujuh buah rumah keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan pada 26 September lalu. Individu yang disaring melibatkan ahli keluarga dan tetamu sekampung yang menghadiri majlis perkahwinan berkenaan.
“Disamping itu, empat individu yang negatif dan 15 individu yang disaring telah dipakaikan gelang dan dikuarantin di rumah masing-masing selama 10 hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, seramai lapan orang petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah dan Klinik Kesihatan Seri Menanti terlibat dalam saringan di kampung berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal turut menasihatkan masyarakat di daerah ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Walaupun Negeri Sembilan sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) saya berharap mereka terus mengikut SOP terutama ketika menghadiri majlis sosial atau kenduri,” katanya. -UTUSAN ONLINE