Kadar positif kit ujian kendiri Covid-19 semakin meningkat - Utusan Malaysia

Kadar positif kit ujian kendiri Covid-19 semakin meningkat

AARON AGO DAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar peratusan kes positif Covid-19 yang dicatatkan menerusi kit ujian kendiri meningkat kepada 4.9 peratus hasil maklumat dari aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan itu bermakna semakin ramai yang melaporkan keputusan kit ujian kendiri mereka.

“Dulu memang kurang tetapi sejak hujung September, kita mempunyai statistik ujian kendiri yang meningkat daripada 30,000 kes kepada 40,000 kes dengan kadar positif keseluruhan dalam 4.9 peratus, bermakna kadar positif itu menunjukkan terdapat 1,000 hingga 2,000 kes positif Covid-19 setiap hari.

“Jika mereka sudah melaporkan kepada MySejahtera, memang status mereka adalah berisiko tinggi kategori satu dan akan dipanggil oleh Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan pengesahan melalui ujian RT-PCR,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berhubung segelintir pengguna kit ujian kendiri Covid-19 yang mungkin tidak mahu melaporkan keputusan ujian mereka jika didapati positif.

Pada masa sama, Aaron berkata, tiada isu kit ujian kendiri tidak diintegrasikan dengan MySejahtera memandangkan pengguna boleh mengemaskini keputusan ujian mereka di bahagian Helpdesk aplikasi berkenaan.

“Mereka yang didapati positif Covid-19 akan mendapat emel daripada MySejahtera untuk memaklumkan yang status terkini sudah ditukar kepada High Risk – Confirmed Case CAT1,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 24 kit ujian kendiri Covid-19 telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN