PETALING JAYA: PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), Ibu pejabat lebuh raya pertama yang menjadi Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) berjaya memberi vaksin kepada lebih 16,000 rakyat Malaysia dan warga asing dalam tempoh kurang daripada dua minggu.
Dalam lawatan ke PPVI Persada PLUS, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berpuas hati dengan kemajuan serta keberkesannya serta memuji kerjasama bersepadu antara PLUS; penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama ProtectHealth.
“PLUS dalam kapasitinya sebagai Rakan Negara telah membuktikan komitmen yang tinggi untuk menyokong matlamat Malaysia mencapai objektif pemberian vaksin sebanyak mungkin. Sehingga semalam,
Malaysia telah mencatatkan pencapaian hampir 24 juta orang di seluruh negara yang telah di vaksinkan.
“Angka ini merangkumi mereka yang telah menerima dos vaksinasi pertama dan kedua mereka dan PLUS telah menyumbang kepada sebahagian daripada bilangan penerima yang semakin meningkat ini dan ia sememangnya menggalakkan prestasi pencapaian Pelan Pemulihan Negara yang lebih awal dari jangkaan,” jelasnya dalam lawatan itu.
ProtectHealth merupakan pelaksana pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Inisiatif PLUS ini juga disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV).
Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata usaha PLUS telah mendatangkan keyakinan untuk organisasi itu menggandakan kapasiti pemberian vaksin.
“Saya telah difahamkan bahawa kuantiti vaksin yang diberikan setiap hari adalah 2,000 dan saya percaya dengan kecekapan pengurusan yang ditunjukkan, kapasiti ini dapat digandakan dalam masa terdekat
“Saya memuji Datuk Azman dari PLUS dan pasukannya bersama Primer Cherang dalam menjayakan PPVI ini dalam masa yang singkat,” jelas Khairy. -UTUSAN ONLINE









