Pelbagai tindakan drastik di HTAR ringankan beban pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Pelbagai tindakan drastik di HTAR ringankan beban pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pelbagai tindakan drastik dan segera termasuk memaksimumkan kapasiti untuk menerima kesemua pesakit yang memerlukan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, wad sedia ada di HTAR juga sudah dinaik taraf dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pesakit.

Beliau berkata, sejak bulan lalu, KKM memobilisasi seramai 27 kakitangan kesihatan dari fasiliti-fasiliti kesihatan di Selangor dan beberapa negeri di luar Selangor untuk berkhidmat sementara di HTAR.

“Mereka membabitkan pegawai perubatan dan kesihatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles
Santiago berhubung situasi semasa dan kebimbangan kes Covid-19 di HTAR.

Mohd. Shafiq berkata, kementerian juga menempatkan kakitangan dari jabatan lain seperti doktor meliputi 12 orang pakar dan 53 orang pegawai perubatan serta 10 orang pegawai perubatan siswazah di HTAR.

Selain itu, katanya, seramai 74 orang jururawat terlatih, 13 orang jururawat masyarakat, 129 orang penolong pegawai perubatan dan 80 orang pembantu perawatan kesihatan turut ditugaskan di hospital sama.

“Ketika ini, HTAR dan beberapa hospital lain termasuk hospital negeri dan hospital hibrid Covid-19 menerima jumlah pesakit yang tinggi.

“Buat masa ini, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di HTAR adalah 154.73 peratus atau bersamaan 1,098 orang pesakit,” katanya.

Katanya, pada bulan lalu, HTAR menerima tambahan 151 katil pesakit dan 200 lagi katil serta 30 ventilator akan dihantar awal minggu hadapan.

Mohd. Shafiq berkata, KKM juga telah meluluskan sewaan 23 unit ambulans daripada syarikat swasta untuk tempoh sebulan bagi kegunaan HTAR.

“Manakala, dua buah bas juga telah diubah suai menjadi bas ambulans beroksigen untuk membawa pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya.

Berhubung tahap kebersihan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR pula, Mohd. Shafiq berkata, kekerapan kerja-kerja pembersihan dalam masa sehari telah dipertingkatkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN