KOTA BHARU: Dua lagi kes positif Covid-19 melibatkan varian Delta dikesan di Kelantan semalam, menjadikan keseluruhan tiga kes varian berbahaya itu telah dikesan di negeri ini setakat ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, dua kes baharu itu dikesan di Pasir Puteh, hasil daripada 75 sampel yang diterima pihak Jabatan Kesihatan negeri untuk diuji, baru-baru ini.
Pada masa sama kata beliau, negeri ini juga merekodkan satu lagi kes positif Covid-19 varian Beta di Pasir Mas, menjadikan keseluruhan kes varian tersebut mencecah 25 kes.
“Sementara itu, baki sampel yang lain kita masih menunggu keputusan sama ada ia membabitkan kes variant of concern (VOC) atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Dr. Zaini dalam pada itu berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengesan punca kes penularan kes-kes varian Delta dan Beta tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan varian Delta dan Beta semakin bertambah. Walaupun kerajaan memberi kelonggaran makan di kedai, kita berharap masyarakat memainkan peranan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan hari ini turut menyeru rakyat Kelantan supaya meningkatkan tahap kawalan kendiri dan sentiasa mematuhi SOP terkini ditetapkan kerajaan.
“Jabatan Kesihatan negeri melaporkan Kelantan masih mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi dengan varian Delta sudah mula berada dalam komuniti. Varian ini sangat mudah berjangkit berbanding varian lain.
“Akibatnya, bilangan kes Covid-19 mencatatkan angka yang tinggi dalam kalangan golongan berisiko terutama penghidap penyakit kronik dan kanak-kanak,” katanya. -UTUSAN ONLINE