JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang mengibar bendera putih di rumahnya di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, di sini serik untuk menagih simpati meminta sumbangan seperti yang dilakukan sebelum ini.
Zulkiflie Samsudin, 39, bertekad untuk menggerakkan tulang empat kerat bagi mencari rezeki dengan hasil usaha sendiri untuk menyara keluarga.
Lelaki itu baru-baru ini mencuri tumpuan umum khususnya di media sosial selepas gambar bendera putih di rumahnya tular kelmarin menyebabkan bantuan diterima mencurah-curah daripada pelbagai pihak termasuk individu perseorangan.
Katanya yang kehilangan kerja sebagai jurukimpal akibat pandemik Covid-19, dia mempunyai tanggungan seorang isteri, Nur Aqeela Atika Mohd. Dali, 29, yang kini sarat mengandung anak ketiga dan bakal dilahirkan pada September ini.
Dia juga mempunyai dua cahaya mata iaitu anak perempuan yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Putri Nur Zahirah, 9, dan anak lelaki, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia 12 bulan.
“Selepas dengar pengumuman Sekatan Pergerakan Penuh bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan disambung, saya terkedu membayang nasib keluarga memandangkan keadaan yang sangat perlukan duit untuk membayar pinjaman bank, bil api dan air.
“Susu dan lampin pakai buang anak juga sudah kehabisan. Duit simpanan juga sudah habis digunakan untuk dijadikan modal melakukan kerja sampingan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia tidak menafikan keluarganya dikecam segelintir pihak termasuk jiran tetangga yang melemparkan pelbagai tohmahan tidak berasas terhadapnya sebagai ketua keluarga.
“Saya terdesak, jika saya menipu ia adalah antara saya dan Tuhan, memang saya tidak mampu. Saya rela bertemu dengan sesiapa saja yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan tindakan menaikkan bendera putih.
“Bendera putih yang dinaikkan sejak petang Isnin lalu sudah pun diturunkan pada hari yang sama,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada para penderma yang memberi pelbagai bantuan makanan kering selain berhasrat menderma sedikit barangan kepada golongan memerlukan. – UTUSAN ONLINE










