Warga emas angkat bendera putih lima hari - Utusan Malaysia

Warga emas angkat bendera putih lima hari

Kelihatan Yeo Kiat Ming (belakang tingkap) mengibarkan "bendera putih" sebagai simbolik keluarga mereka memerlukan bantuan keperluan asas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Bukit Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah keluarga di Flat Bukit Tinggi, di sini, terpaksa mengangkat bendera putih selama lima hari kerana bahan makanan di rumah mereka hampir habis.

Yeo Chin Seng, 60, mengibarkan bendera itu selepas bekalan makanan asas seperti beras, minyak, sardin dalam tin dan lain-lain lagi semakin sedikit, setelah kali terakhir membeli semua barangan itu dua minggu lepas.

“Saya gunakan wang bantuan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor RM300 sebulan kepada salah seorang anak yang merupakan kurang Upaya (OKU) untuk pembelanjaan keluarga.

“Melihat bahan makanan hampir habis, saya terpaksa menebalkan muka dengan mengangkat bendera putih,” katanya dalam program agihan bantuan Bendera Putih anjuran MCA bahagian Klang, di sini, semalam.

Selepas sembilan hari membeli bahan asas tersebut, Chin Seng berkata, bekalannya semakin sedikit sehingga dia bersama empat ahli keluarganya yang lain terpaksa mencatu makanan setiap hari.

Dalam tempoh itu, dia memaklumkan mereka sekeluarga hanya makan dua kali sehari, dengan makan nasi berlaukkan sardin.

“Apapun, saya lega apabila pihak MCA hadir hari ini untuk memberi sumbangan kepada keluarga.

“Kalau mereka tak beri sumbangan, kami mungkin berlapar dalam tempoh beberapa hari sehingga ada pihak menghulurkan bantuan,” luahnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Tan Bok Koon berkata, pihaknya mendapat makluman mengenai tindakan Chin Seng daripada seorang kenalannya yang tinggal berdekatan kawasan tersebut, semalam.

Tidak mengambil masa lama, beliau bersama beberapa anggota MCA kawasan itu lantas memberikan bantuan kepada keluarga itu.

“Kita beri sumbangan bahan makanan seperti beras, telur, minyak, sayur dan lain-lain lagi bernilai RM400. Selain itu, kita juga beri wang tunai RM200 untuk digunakan mereka, ” katanya.

Bok Koon meminta orang ramai menghubunginya melalui akaun Facebook rasminya, Dato’ Tan Bok Koon’ sekiranya mereka terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan wang pembelian barangan keperluan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN