Kes Covid-19 diunjurkan terus naik beberapa hari lagi - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 diunjurkan terus naik beberapa hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan kes Covid-19 akan terus naik untuk beberapa hari sebelum aliran itu dijangka berkurangan dalam beberapa minggu lagi.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, ia susulan langkah aktif pengesanan kontak rapat sebanyak yang mungkin dan proses ketat kuarantin selain strategi saringan wabak disusun semula agar lebih efektif.

“Ramai tidak mengalami gejala dan tidak menyedari mereka telah dijangkiti serta boleh sebar virus kepada orang lain walaupun kadar vaksinasi ditingkatkan.

“Strategi pengurusan wabak juga sudah berubah daripada sekadar membendung kepada mitigasi dalam usaha pencegahan kematian dan meminimumkan penyebaran kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Kheong berkata, peningkatan kes kebelakangan ini disebabkan tahap keberkesanan vaksin bertindak balas mengambil masa dua minggu selepas lengkap dua dos.

“Kemunculan varian Delta dalam komuniti dengan banyak kes juga menyumbang lonjakan kes dan ini turut dialami banyak negara meskipun merekodkan kadar vaksinasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Bertindak Khas Greater Lembah Klang sudah merangka beberapa inisiatif mengekang penularan luas kes Covid-19 dan meminimumkan penyebaran wabak.

Menurutnya, enam inisiatif utama sudah dibuat antaranya meningkatkan kapasiti katil, penjagaan ICU, bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja dan sukarelawan selain bantuan pihak tentera.

Selain itu, jelasnya, langkah pemindahan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta turut dilakukan selain Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya bagi pesakit tiada simptom atau hanya gejala ringan.

“Klinik juga menawarkan lebih banyak ujian RTK-Antigen selain penjualan kit kendiri di farmasi bagi orang ramai melakukan sendiri di rumah tanpa perlu bersesak teruk di pusat saringan.

“Sokongan kepada petugas barisan hadapan di fasiliti kesihatan yang gigih berkhidmat juga ditingkatkan selain sistem sokongan sosial dan emosi untuk orang awam,” jelas Chee Kheong.

Pasukan itu ujarnya, turut mengemas kini komunikasi info semasa isu kritikal dengan komuniti di samping peruntukan dana bagi perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan tambahan.

Sekiranya disahkan positif, beliau menasihatkan mereka yang tiada gejala atau simptom ringan menjalani isolasi di rumah dengan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera.

“Mereka juga perlu segera memaklumkan kontak rapat untuk turut membuat pengasingan kendiri selama 10 hari dan ujian saringan tidak perlu kecuali yang ada gejala,” katanya.-UT5USAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya