PUTRAJAYA: Sejumlah 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor disasarkan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, data daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COvid-19 (JKJAV) itu merekodkan, seramai 3.5 juta sudah menerima satu dos setakat 15 Julai lalu.
“Sejumlah 272,000 pemberian vaksin akan dilaksanakan secara harian di Lembah Klang itu,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam merekodkan 399,135 dos iaitu meliputi 281,481 dos pertama, manakala 117,654 dos kedua.
Kata beliau, setakat ini, sebanyak 17,317,553 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk dewasa yang layak.
“Bagi status pendaftaran vaksin pula, ia merekodkan perkembangan baik apabila 79.8 peratus sudah berbuat demikian iaitu meliputi 19,919,192 orang,” katanya. -UTUSAN ONLINE