Negara kuasa besar ego kawal vaksin - Utusan Malaysia

Negara kuasa besar ego kawal vaksin

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sikap ego negara besar yang menguasai pengeluaran vaksin menyebabkan pandemik Covid-19 di seluruh dunia sukar di kawal sehingga kini.

Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, negara kuasa besar dunia sedang berusaha mendominasi pengeluaran, pemilikan dan pengedaran vaksin, sekali gus menyebabkan negara lain khususnya Asia ketinggalan dari segi pengedaran vaksin tersebut.

“Kuasa-kuasa besar ini sepatutnya lebih adil dalam soal pengedaran vaksin supaya tidak timbul jurang sehingga melambatkan proses pemulihan sesebuah negara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, tindakan negara-negara di bawah EU memonopoli agihan vaksin menyebabkan kadar vaksinasi di Malaysia ketinggalan berbanding negara lain.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, negara-negara EU berunding dengan pembekal vaksin Covid-19 bagi membolehkan mereka membuat pembelian pukal apatah lagi kilang vaksin semuanya terletak di Eropah.

Jelas Khairy, tindakan mereka juga menyebabkan negara Asia termasuk Jepun yang dikenali sebagai sebuah negara maju turut terbelakang apabila membabitkan vaksinasi berbanding Eropah, AS, United Kingdom, Kanada manakala Amerika Selatan yang menerima bantuan Amerika Syarikat (AS) juga mencapai imuniti kelompok lebih awal.

Mengulas lanjut, Kamarul Azman berkata, di AS, terdapat peraturan eksport ketat oleh kerajaan di negara tersebut yang menghendaki syarikat-syarikat farmaseutikal tempatan membekalkan kebanyakan vaksin Covid-19 bagi pasaran dalam negara terlebih dahulu.

Katanya, manakala EU pula dilaporkan telah mengeksport majoriti bekalan vaksin Covid-19 ke negara-negara yang sedang menghasilkan vaksin ataupun yang mampu membeli vaksin tersebut dengan harga pasaran.

“Buktinya, pada Mac lalu, sebanyak 34 juta dos vaksin daripada EU dieksport ke 31 buah negara di mana sembilan juta daripadanya ke Britain, tiga juta ke Kanada dan Mexico, dan dua juta ke Jepun,” katanya.

Katanya, sejak bermulanya pandemik Covid-19, pemimpin negara dan ahli politik telah kerap kali menekankan betapa pentingnya negara-negara dunia untuk bekerjasama secara kolektif untuk mengatasi ancaman pandemik tersebut.
Sementara itu, Felo Penyelidik UUM-ITS, Muhammad Afifi Abdul Razak pula berkata, satu dasar yang jelas dan adil mengenai urusan penyelarasan pengedaran vaksin Covid-19 ke seluruh dunia perlu dilakukan.

Katanya, model pengedaran vaksin Covid-19 yang sedia ada pada ketika ini hanyalah berdasarkan kepada kecenderungan politik dan ekonomi.

“Ada juga kebarangkalian vaksin Covid-19 tersebut mungkin digunakan untuk mencapai tujuan tertentu seperti mewujudkan satu bentuk hubungan jangka masa panjang dan kebergantungan antara negara-negara dalam kerangka geopolitik antarabangsa khasnya bagi negara-negara yang tidak berkemampuan untuk menghasilkan vaksin sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN