PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes positif Covid-19 melebihi 5,000 iaitu 5,218 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 4,744 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 57 kes kematian dicatatkan dengan 899 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 451 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 61,812 kes aktif.
Katanya, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar walaupun berlakunya penurunan di bawah 2,000 kes apabila merekodkan sebanyak 1,989 kes, diikuti Negeri Sembilan (629), Kuala Lumpur (469), Sarawak (409), Perak (400), Sabah (258), Johor (243).
“Baki negeri merekodkan kes di bawah 200 iaitu Kedah (194), Melaka (183), Pahang (111), Labuan (108) dan Kelantan (101).
“Hanya dua negeri merekodkan kes dua angka iaitu Pulau Pinang (88), Terengganu (23) manakala Putrajaya (8) dan Perlis (5),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE