'Kami bersedia bila-bila jika kerajaan mahu sidang Parlimen' - Utusan Malaysia

‘Kami bersedia bila-bila jika kerajaan mahu sidang Parlimen’

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parlimen sedia bersidang sekiranya kerajaan mahu mengadakannya meskipun dalam tempoh darurat dan situasi pandemik Covid-19 semasa yang semakin membimbangkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, isu sama ada mengadakan sidang Parlimen atau sebaliknya terserah kepada keputusan pihak kerajaan untuk berbuat demikian.

Beliau menjelaskan, bukan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang Parlimen di samping Yang di-Pertuan Agong berkenan memanggil Parlimen selepas mengikut nasihat kerajaan seperti dinyatakan dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Yang memanggil sidang Parlimen adalah Agong tetapi setelah menerima nasihat Perdana Menteri. Kalau Seri Paduka berkenan setelah ikut nasihat kerajaan, satu pengisyharan akan dikeluarkan untuk memanggil Parlimen bersidang.

“Kalau ikutkan, kami bersedia pada bila-bila masa dari segala aspek untuk sidang Parlimen khususnya membabitkan soal pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19,” katanya dihubungi semalam.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said lantang menggesa agar Parlimen dapat kembali bersidang bagi mencari langkah penyelesaian terhadap krisis pandemik Covid-19 dihadapi negara ketika ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu sebelum ini mengemukakan cadangan supaya Parlimen kembali bersidang termasuk secara maya seperti menggunakan aplikasi Zoom.

Mengulas sidang secara maya, Azhar Azizan menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sekiranya mahu mengadakan sidang secara dalam talian kerana peruntukan undang-undang sedia ada menyebut sidang perlu diadakan dalam Bangunan Parlimen.

Namun beliau menjelaskan, pihaknya bersedia menggunakan kemudahan teknologi bagi membuka laluan agar sidang Parlimen secara maya sekiranya undang-undang membenarkan perkara itu berlaku.

“Apabila pengisytiharan sidang Parlimen dikeluarkan, ia perlu digazetkan dengan kandungannya menyebut tarikh bersidang dan tempat. Lokasi mengikut Perlembagaan adalah Bangunan Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN