TELUK INTAN: Polis sedang memantau laman sosial milik bekas pelakon lelaki yang didakwa menyebarkan fahaman antivaksin menerusi hantaran yang dimuat naik di laman tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut dan siasatan lanjut dijalankan sekiranya didapati kenyataan dibuat lelaki berusia 48 tahun itu boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, tiada laporan polis diterima berhubung isu berkenaan sehingga kini.
“Kita akan lihat perkara itu (hantaran di laman sosial), jika benar ia menggugat ketenteraman awam dan masyarakat, maka tindakan boleh diambil mengikut peruntukkan undang-undang.
“Setakat ini, belum ada laporan. Jika ada, kita ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Isu membabitkan bekas pelakon komedi itu tular dan menjadi bualan warga maya apabila dilihat secara terang-terangan menolak suntikan vaksin Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan.
Hantaran yang dimuat naik di laman sosial miliknya itu juga mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-rata kesal dengan tindakan tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, 76 peratus daripada 10,924 pegawai dan anggota polis di Kontinjen Perak menyatakan persetujuan mengambil suntikan vaksin.
Katanya, suntikan itu dijalankan secara berperingkat bermula 12 Mac ini.
“Kita tidak mendapat peratusan penuh kerana ada dalam kalangan mereka diberi pengecualian disebabkan beberapa faktor termasuk alahan teruk, ibu menyusu dan mengandung.
“Bagaimanapun, saya yakin peratusan mereka yang bersetuju menerima suntikan itu terus meningkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE