PKPD di dua lokaliti Sibu ditamatkan - Utusan Malaysia

PKPD di dua lokaliti Sibu ditamatkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sibujaya dan Perumahan Townvilla, Daerah Sibu, Sarawak ditamatkan sebagaimana dijadualkan pada Khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun beberapa blok flat tersebut dilanjutkan lagi perintah itu sehingga 11 Mac ini iaitu di blok C, H, J, K, L, N dan R.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan terhadap 6,818 penduduk dan daripada jumlah itu, sebanyak 277 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan kedua-dua lokaliti itu.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan kes di Perumahan Townvilla dan sebahagian besar blok Flat Sibujaya menunjukkan trend penurunan.

“Ia berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal PKP,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat beliau hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, polis menahan 400 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu seramai 352 dikompaun manakala 48 individu direman.

Katanya, antara kesalahan ingkar SOP itu termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri pelanggan 106 kes, aktiviti pusat hiburan (102), tidak memakai pelitup muka (92), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (35), tiada penjarakan fizikal (34) serta lain-lain kesalahan (31).

“Sebanyak 3,369 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan terdiri daripada 15,075 anggota melakukan 71,594 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.

“Operasi Benteng pula berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin serta merampas lima kenderaan darat serta mengesan 74 bot atau kapal di perairan negara melalui dua aktiviti penglihatan,” katanya.

Ismail Sabri turut memberitahu, secara kumulatif sehingga 28 Februari lalu, seramai 12,121 PATI serta 922 tekong berjaya ditangkap.

Katanya, sebanyak 445 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan diseluruh negara

Berhubung kuarantin wajib, seramai 618 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan kesemuanya dikuarantin wajib.

“Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020 sehingga 24 Februari lalu, seramai 134,393 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,771 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 75 hotel dan 13 premis lain, seramai 839 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 125,783 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya