KOTA BHARU: Kerajaan negeri digesa membuka mata dan bersikap lebih peka terhadap kebajikan pemandu teksi atau dipanggil kereta sewa di negeri ini yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berkata, golongan itu masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya biarpun pendapatan mereka terjejas teruk terutama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pendapatan pemandu teksi terjejas sehingga lebih 90 peratus, malah ada yang hilang terus pendapatan selepas negara kita diancam pandemik terutama sepanjang pelaksanaan PKP.
“Saya difahamkan tiada bantuan khusus untuk mereka setakat ini. Saya harap kerajaan negeri dan semua pihak yang berkemampuan dapat ‘buka mata’ dan membantu meringankan beban golongan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Amanah Kawasan Kota Bharu itu turun padang mendengar keluhan pemandu kereta sewa selain menyerahkan sumbangan wang tunai kepada wakil mereka iaitu Pengerusi Persatuan Kereta Sewa Lembah Sireh, Mohamad Abdullah.
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Kereta Sewa Kelantan, Azmi Mohd. Zain berkata, terdapat lebih 1,000 pemandu kereta sewa berdaftar di seluruh negeri.
“Ini kali pertama kami terima bantuan wang tunai, sebelum ini kami menerima bantuan dalam bentuk bungkusan makanan daripada beberapa pihak,” katanya.
Katanya, kemerosotan pendapatan termasuk pulang dengan tangan kosong kerana ketiadaan penumpang sejak Mac tahun lalu memaksa segelintir pemandu beralih mencari kerja lain. – UTUSAN ONLINE