Belum ada keputusan pemain Liga Malaysia, atlet terima vaksin fasa pertama - Utusan Malaysia

Belum ada keputusan pemain Liga Malaysia, atlet terima vaksin fasa pertama

KHAIRY Jamaluddin dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Klinik Kesihatan Rembau dekat Rembau, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Keputusan sama ada atlet dan pemain Liga Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan belum ditentukan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan, terdapat jawatan kuasa kecil di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang ditugaskan untuk menilai rayuan daripada sektor tertentu.

“Pertimbangan dibuat selepas penilaian risiko dan keperluan kepada pembukaan ekonomi negara.

“Buat masa ini belum ada keputusan untuk memberikan vaksin (fasa pertama) kepada atlet atau pemain bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Rembau, di sini, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, media melaporkan pemain Liga M bakal menerima vaksin Covid-19 menerusi inisiatif yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, hasil perbincangannya dengan Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, pihaknya mengemukakan permohonan untuk kelompok pemain tempatan diberi suntikan vaksin seberapa awal yang boleh.

Pada 20 Februari lalu pula, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementeriannya sudah menghantar senarai nama 4,000 atlet dan pegawai yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN