SEREMBAN: Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di negeri ini dan dibawa masuk ke Klinik Kesihatan Seremban 2, dekat sini yang difahamkam menjadi Pusat Simpanan Vaksin (PSV).
Vaksin tersebut dibawa sebuah van logistik DHL dan tiba di klinik berkenaan kira-kira pukul 11.23 pagi diiringi kereta peronda polis dan motor trafik.
Terdahulu difahamkan, vaksin berkenaan dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menuju ke Subang sebelum dibawa ke Seremban.
Vaksin tersebut kemudian menuju ke Hospital Tampin yang turut difahamkan menjadi salah satu lagi pusat simpanan vaksin berkenaan di negeri ini.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech diedarkan ke beberapa buah negeri termasuk Negeri Sembilan hari ini.
Sementara itu, jumlah sebenar vaksin yang ditempatkan di negeri ini termasuk jumlah individu yang bakal menerima vaksin pada fasa pertama ini belum diketahui. – UTUSAN ONLINE