Sultan Johor perkenan 40 jemaah solat di masjid, surau - Utusan Malaysia

Sultan Johor perkenan 40 jemaah solat di masjid, surau

TOSRIN Jarvanthi (tengah) bersama Mufti Negeri, Datuk Yahya Ahmad (kiri) dan Pengarah JAINJ, Datuk Md. Rofiki Samsudin (kanan) menunjukkan kenyataan akhbar berkenaan solat dan akad nikah dalam tempoh PKP pada sidang akhbar di Kompleks Islam Iskandar, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat fardu, solat Jumaat serta aktiviti agama di semua 814 masjid dan 1,928 surau di seluruh negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu adalah secara bersyarat sehingga tempoh ditentukan Majlis Agama Islam Negeri (MAINJ) mengikut pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, sebanyak 216 surau dibenarkan mengadakan solat Jumaat bagi memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam di negeri ini menunaikan kewajipan itu.

“Seramai 40 jemaah solat fardu dan solat Jumaat dibenarkan yang digilirkan tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatan kuasa pengurusan kariah masjid serta surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, diperkenankan kebenaran sementara menunaikan solat Jumaat di 216 buah surau seluruh negeri, ini adalah tambahan surau yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Tosrin berkata, aktiviti agama yang dibenarkan di seluruh premis masjid dan surau melibatkan tazkir dan tahrim oleh pegawai masjid dan surau, program membudayakan al-Quran dan as-sunnah, program bacaan surah Yassin serta tahlil.

Katanya, ini termasuk bacaan surah Al-Mulk dan surah Al-Kahf serta solat jenazah juga dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan.

“Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah takmir masjid dan surau serta ceramah ditangguhkan tetapi aktiviti kuliah dan ceramah secara atas talian adalah digalakkan,” katanya.

Bagi pengurusan nikah, cerai dan rujuk dalam tempoh PKP, beliau berkata, pelaksanaannya adalah secara bersyarat dan digalakkan untuk ditangguhkan, namun majlis akad nikah boleh dilaksanakan di pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau pejabat kadi daerah bagi faktor tertentu.

“Sebagai contoh, pasangan pengantin dan wali yang berada dalam daerah yang sama atau pasangan pengantin yang berada dalam daerah sama tetapi wali berada di luar daerah atau negeri adalah dengan menggunakan kaedah jurunikah atau wakalah wali,” katanya.

Tambahnya, kehadiran bagi satu majlis akad nikah pula tidak melebihi enam orang melibatkan tiga daripada keluarga pengantin dan tiga lagi daripada pihak urusetia.

“Sejak Januari lalu, kita menerima 35 permohonan untuk bernikah secara purata dalam setiap hari tetapi kita terpaksa tangguhkan dahulu. Sepanjang tahun lalu pula kita terima 18,000 permohonan untuk bernikah di negeri ini,” katanya.

Bagi kursus pra perkahwinan, beliau berkata, hanya dibenarkan menggunakan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan melalui kaedah sidang video sahaja dengan maksima 100 peserta.

Tambahnya, pendaftaran cerai pula boleh dilaksana untuk mendapat sijil cerai sekiranya sudah mendapat perintah pengesahan cerai dari mahkamah syariah manakala pendaftaran rujuk boleh hadir ke pejabat kadi daerah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya