Lagi PKPD di Perak, Terengganu - Utusan Malaysia

Lagi PKPD di Perak, Terengganu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lokaliti masing-masing di Perak dan Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan kuarters petugas di Jalan Brewster, Daerah Kinta, Perak.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Baki 45 saringan, ujarnya, sedang menunggu keputusan dan hasil penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD.

Langkah itu, jelas beliau, bagi memudahkan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, staf dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada lagi jangkitan dalam komuniti.

PKPD di lokaliti ini bermula 14 Februari hingga 27 Februari dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti tempat lain antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga.

Institusi itu yang asalnya Kinta Prison dan dibuka pada 1902, diubah sebagai pusat pemulihan akhlak oleh Jabatan Penjara Malaysia pada 1983 bagi tahanan Akta Dadah Berbahaya.

“Turut dikenakan PKPD serentak ialah tiga perkampungan di Mukim Pasir Akar, Daerah Besut, Terengganu melibatkan sejumlah 2,152 orang penduduk tempatannya,” katanya.

Ia ujar beliau, meliputi Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor susulan pelaksanaan 570 ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan di tiga lokaliti itu.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 21 kes positif Covid-19 direkodkan dan kerajaan bersetuju PKPD bagi mengawal pergerakan selain mengurangkan penularan baharu wabak.

Tiga perkampungan itu berkeluasan keseluruhan hampir 18 hektar sering menjadi laluan pilihan pelancong tempatan dan asing untuk pergi bercuti di Pulau Perhentian berdekatan.

Dalam pada itu, PKPD di Penjara Simpang Renggam dan kuarters kakitangan di Daerah Kluang, Johor, ditamatkan secara rasmi pada 14 Februari ini seperti yang dijadualkan.

“Kementerian Kesihatan selesai melakukan 476 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 294 kes positif pandemik berkenaan telah pun direkodkan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, kementerian itu melaporkan trend penurunan dan terkawal serta kes positif terakhir yang dlaporkan ialah pada 11 Februari lalu iaitu hanya sejumlah dua kes.

Pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bermula pada 1 Februari lepas setelah kementerian tersebut mendapati 100 tahanan, enam kakitangan dan dua kontak rapat sebagai positif Covid-19.

Penjara itu yang berupaya menampung 1,400 banduan, dibuka sejak 1986 lalu atas kawasan seluas 83 hektar serta pernah diwartakan sebagai institusi tahanan reman dan prabebas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya