Beri alasan permit rentas daerah tertinggal dalam kereta - Utusan Malaysia

Beri alasan permit rentas daerah tertinggal dalam kereta

SHARIMAN Ashari memeriksa permit kebenaran rentas daerah penumpang yang menaiki feri ke Kuala Kedah di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi hari ini.- UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Empat sekeluarga memberi alasan permit kebenaran merentas daerah tertinggal di dalam kereta di Kuala Kedah, ketika diperiksa dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini hari ini.

Keluarga tersebut yang mahu menaiki feri ke Kuala Kedah dekat sini tidak dibenarkan menaiki pengangkutan itu dan diarahkan berpatah balik bagi mendapatkan permit kebenaran merentas daerah terlebih dahulu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, keluarga tersebut didapati gagal menunjukkan permit kebenaran rentas daerah daripada polis.

Katanya, selain keluarga tersebut, terdapat dua lagi individu yang turut diarah berpatah balik atas kesalahan sama hari ini.

“Sejak awal PKPB dikuat kuasakan, kira-kira 20 orang diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai permit kebenaran sah untuk merentas daerah,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, ujarnya, pekerja kaunter tiket feri akan meminta permit kebenaran merentas daerah daripada penumpang sebelum menjual tiket tersebut.

“Bagaimanapun ada penumpang cuba mengambil kesempatan untuk menaiki feri dengan cara membeli tiket secara dalam talian.

“Cubaan mereka itu gagal apabila pemeriksaan dilakukan oleh anggota polis sebelum penumpang dibenarkan menaiki feri,” ujarnya.

Menurut Shariman, operasi pematuhan SOP PKPB dilakukan setiap hari kerana hanya terdapat satu perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi.

“Anggota polis memeriksa permit kebenaran merentas daerah selain tinjauan di dalam feri untuk memastikan semua penumpang memakai pelitup separuh muka dengan sempurna,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, tiada laporan bot-bot persendirian yang merentas daerah tanpa kebenaran di perairan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN