PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah bersedia melaksanakan suntikan vaksin Covid-19, esok sekali gus menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan susulan kejayaan simulasi pemberian vaksin, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, simulasi ini sangat penting bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin di lapangan terutama apabila pelaksanaan berskala besar dilaksanakan pada fasa dua dan tiga nanti.
Katanya, simulasi hari ini menggunakan contoh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kategori satu yang terdiri daripada 10 petugas kementerian dan 10 petugas bukan kementerian itu.
“Proses kerja pemberian vaksin Covid-19 di sesebuah PPV adalah seperti stesen satu, saringan gejala dan suhu; stesen dua, pendaftaran; stesen tiga, kaunseling dan persetujuan Imunisasi; stesen empat, suntikan vaksin dan stesen lima, pemerhatian (penerima akan diminta untuk berada dalam ruang pemerhatian dalam tempoh masa antara 15 hingga 30 minit).
“Pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 di 532 PPV seluruh negara melibatkan lapan jenis PPV iaitu kategori satu hingga lapan yang mana semua kategori diklasifikasi sedemikian berdasarkan bilangan anggota dan keluasan sesuatu tempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adham berkata, tujuan utama simulasi itu diadakan adalah untuk menguji persediaan dan proses kerja pelaksanaan pemberian vaksin ini dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan dalam garis panduan pelaksanaan pemberian vaksin.
Beliau berkata, pihaknya sangat berharap agar program pemberian vaksin mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat kerana pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan untuk melindungi diridan orang di sekeliling.
“Adalah menjadi harapan kerajaan agar masyarakat di seluruh negara yang layak untuk mengambil vaksin dapat sama-sama menjalankan tanggungjawab dalam memastikan sasaran liputan antara 70 hingga 80 peratus dapat dicapai bagi mencapai imuniti kelompok.
“Apabila sebahagian besar masyarakat diberi vaksinasi, penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti dapat dicegah dan selanjutnya mengekang kejadian pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE