Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik Covid-19 dibentuk - Utusan Malaysia

Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik Covid-19 dibentuk

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia bertemu wakil dari 46 pakar kesihatan yang menandatangani surat terbuka kepadanya 7 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan balas kepada surat berkenaan, Perdana Menteri berkata, pertemuan itu akan diatur bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Penasihat Khas Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan pegawai kanan berkaitan untuk mempertimbang segala isu yang dibangkitkan bagi mengatasi kadar jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Beliau memberi jaminan bersikap terbuka mendengar nasihat dan idea mereka agar semua pihak dapat menyumbang secara kolektif bagi mengurangkan jumlah jangkitan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Pada masa sama, beliau bersetuju dengan cadangan pakar-pakar itu untuk membentuk Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik Covid-19 yang memberi nasihat kepada kerajaan mengenai perkara-perkara berkaitan pengurusan pandemik berkenaan.

“Saya menggesa anda mencalonkan nama yang sesuai menganggotai kumpulan penasihat ini.

“Saya memberi jaminan bahawa fokus utama pentadbiran adalah menguruskan wabak ini dan mengurangkan kesannya terhadap sosial dan ekonomi. Saya telah dan akan terus meminta usaha bersama.

“Saya akan terus mengetepikan politik dalam usaha menamatkan wabak ini dengan kerjasama seluruh masyarakat untuk mengakhirinya melalui usaha pemulihan yang harus diikuti,” katanya, malam tadi.

Pada 7 Januari lalu, seramai 46 pakar kesihatan menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri merayu supaya satu strategi baharu diwujudkan bagi mengatasi kadar jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.

Antara pakar yang menandatangani surat itu ialah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman; bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Christopher Lee dan Profesor Perubatan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman.

Mereka menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan serius bagi mengurus beban ke atas sistem kesihatan negara susulan peningkatan kes dengan mengemukakan 10 cadangan kritikal sebelum negara memasuki ‘unit rawatan rapi’ Covid-19.

Muhydiin berkata, beliau menghargai hasrat kumpulan pakar itu menyokong kerajaan dalam usaha memerangi pandemik dan mengalu-alukan penglibatan mereka bersama.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan pernah menjemput lima pakar kesihatan luar yang juga sebahagian dari penandatangan surat berkenaan untuk berkongsi pandangan dan nasihat bersama menteri dan pegawai kanan kerajaan melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri dan Bank Negara Malaysia.

Kata beliau, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah memberi maklum balas terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pakar-pakar berkenaan dan mengesahkan banyak kebimbangan serta cadangan yang dikemukakan telah atau sedang dalam proses tindakan.

Berhubung pendekatan ujian saringan Covid-19 yang dibangkitkan dalam surat berkenaan, Perdana Menteri berkata, sejak Jun tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dalam komuniti.

Pada masa itu, katanya, Malaysia salah satu daripada negara terawal menggunakan kaedah ujian berkenaan yang dinilai oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi memastikan ia mematuhi standard diperlukan dan kemudian diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan lebih meluas dalam komuniti.

Sejajar dengan garis panduan WHO, jelas Perdana Menteri, ujian RTK-Ag
digunakan apabila penularan Covid-19 didapati tinggi dalam kawasan penduduk tertentu.

“Ujian RTK-Ag digunakan di Sabah sejak 5 Oktober tahun lalu malah Kementerian Kesihatan menyediakan lima pusat ujian RTK-Ag di negeri itu untuk meningkatkan kapasiti ujian RTK-Ag.

“Sehingga 14 Januari lalu, sejumlah 365,740 ujian RTK-Ag dengan kadar positif 3.75 peratus yang membantu Kementerian Kesihatan dalam mengurus penularan wabak itu di Sabah.

“Kementerian juga berupaya mengenal pasti kes positif lebih awal, mengasingkan dan merawat mereka serta mempercepat aktiviti pengesanan kontak bagi mengurangkan penularan penyakit itu di dalam komuniti,” katanya.

Berhubung penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing, Perdana Menteri berkata, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melaksanakan saringan secara besar-besaran menggunakan kaedah RTK-Ag sekali gus mampu mengesan kes positif lebih awal dan dikuarantinkan.

Katanya, sehingga 13 Januari lalu, sebanyak 146,083 ujian RTK-Ag dilaksanakan ke atas pekerja asing di bawah Program Saringan Perkeso dengan kadar positif 2.0 peratus dan membuat pengasingan seterusnya.

Menurut Perdana Menteri, tahap keupayaan makmal ditingkatkan sehingga 60,000 ujian sehari dengan penyertaan makmal swasta yang dipantau rapat oleh Kementerian Kesihatan, menggunakan kedua-dua kaedah, iaitu ujian PCR dan RTK-Ag.

Makmal tersebut juga menjalankan ujian rutin untuk mengenal pasti varian baharu strain Covid-19 di negara ini sekali gus membolehkan Kementerian Kesihatan menambah baik pengurusan strategi.

“Kementerian juga sedang menyelidik kaedah saringan alternatif sebagai contoh ujian air liur dan kaedah-kaedah baharu yang ada di dalam pasaran.

“Tindakan lain yang diambil ialah pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak berisiko tinggi boleh melakukan kuarantin kendiri di rumah selepas menilai keadaan risiko kediaman bagi memastikan persekiran bersesuaian dan kondusif,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama memberi jaminan keputusan untuk memindahkan sementara pesakit Covid-19 ke hospital swasta juga akan mengurangkan bebanan tugas di hospital kerajaan.

Buat permulaan, kata beliau, Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai kanan kerajaan lain telah mengadakan satu perbincangan dengan pengurusan kanan hospital swasta yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memulakan inisiatif pemindahan pesakit itu.

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan lain-lain hospital swasta menerusi panggilan video dan disertai hampir 400 peserta untuk memulakan inisiatif itu. Saya rasa terharu dengan sokongan segera yang diterima daripada hospital swasta,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya