Pusat hiburan langgar PKPB diserbu - Utusan Malaysia

Pusat hiburan langgar PKPB diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 dekat sini beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang padah apabila premis itu diserbu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam tadi itu,18 individu termasuk pemilik premis  dikenakan tindakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka yang dikompaun terdiri 17 pengunjung termasuk empat wanita, kesemuanya warga tempatan sedang leka berhibur dan minum arak.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada penjarakan fizikal dilaksanakan di premis itu selain beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Semakan lanjut turut mendapati premis hiburan itu juga tidak mempunyai lesen menjual minuman keras.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis menerima komisen untuk menjalankan operasi dengan bayaran RM2,000 sebulan dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ezanee, menerusi serbuan itu juga, sebanyak 13 botol arak pelbagai jenama dirampas selain beberapa peralatan audio.

“Pemilik dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 dan Seksyen 76 Akta Esais 1976.

“Selain itu, kesemua pengunjung serta pemilik premis dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 3 dan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ezanee menegaskan, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi  mengambil tindakan tegas ke atas individu yang ingkar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan berkumpul atau berhibur ketika PKPB. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya